Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam muat naik status berkenaan, pemilik akaun Facebook itu mempersoalkan kehilangan laporan forensik dan mengaitkannya dengan arahan daripada seseorang untuk melenyapkan laporan berkenaan. 

“Status yang memetik kenyataan akhbar Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie itu merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh pemiliknya. 

“Ia juga merupakan satu fitnah yang mampu mencabar kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan dengan telus dan teliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Tambah Razarudin, berikutan status yang dimuat naik tersebut, Polis Perak telah membuat satu laporan polis dan satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan. 

Katanya, Seai Kie juga akan dipanggil polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. 

“Polis ingin menegaskan bahawa laporan tersebut tidak hilang sebaliknya polis masih menunggu laporan forensik dari Jabatan Kimia dan laporan perubatan bagi melengkapkan siasatan. 

“PDRM ingin menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis serta menidakkan ketelusan, keadilan dan nama baik polis terutamanya PDRM Perak,” katanya. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ahli Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu.

Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat. - K! ONLINE