Gabenor Kiwanis Malaysia, Ivan Oh berkata, inisiatif itu diperkenalkan dalam usaha pihaknya mengaplikasikan platform digital baharu untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan dengan menyertai revolusi digital.

"Seperti kita sedia maklum, adalah sukar untuk mendapatkan derma daripada orang ramai, jadi dengan penglibatan teknologi ini akan memudahakan kita untuk menerima sumbangan.

"Dengan adanya sistem baharu ini yang dikenali sebagai Kiwanis 4.0 diharapkan dapat menggalakkan orang ramai menyalurkan derma, mengambil bahagian dalam komuniti di bawah Kiwanis dan membeli barangan cenderahati dengan lebih mudah," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Platform Digital Kiwanis 4.0 pada Konvensyen Kiwanis Malaysia ke-19 di Batu Feringghi.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syarleena Abdul Rashid.

Menurutnya lagi, Kiwanis Malaysia bakal mewujudkan aplikasi telefon pintar menjelang Disember depan bagi merapatkan hubungan di antara komuniti ahli persatuan terbabit yang seramai kira-kira 1,500 orang di seluruh negara setakat ini.

"Menerusi aplikasi yang dikenali sebagai My Kiwanis itu, semua ahli boleh berkomunikasi sesama mereka melalui ruang lebih luas iaitu dengan kumpulan perbincangan maya selain saluran maklumat terus berhubung persatuan.

"Ia juga sebagai platform untuk kelab-kelab Kiwanis seluruh negara bagi berkongsi aktiviti masing-masing menerusi satu aplikasi di telefon pintar," katanya lagi. - K! ONLINE