fbpx

PIDM Siri 6: Panduan kewangan mudah bagi pengguna kewangan pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIDM memastikan simpanan anda sentiasa dilindungi.
Perlindungan PIDM disediakan secara automatik dan percuma.

Literasi kewangan merupakan kemahiran hidup yang penting. Dengan pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi, seseorang individu boleh menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik serta meningkatkan peluang mencapai matlamat kewangan mereka.

Sempena Bulan Literasi Kewangan 2020 yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang bulan ini.

Selaku ahli FEN, PIDM menyokong inisiatif ini.

Tujuannya inisiatif ini pula tidak lain dan tidak bukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan literasi kewangan dan menggalakkan perubahan tabiat kewangan ke arah lebih positif.

Dalam rencana ini, PIDM akan berkongsi panduan bagaimana anda boleh menguruskan situasi kewangan anda menerusi tiga langkah asas.

Simpan, urus dan lindungi wang anda

Peribahasa sikit-sikit, lama-lama jadi bukit perlu menjadi pegangan anda dalam tabiat menabung kerana wang yang anda simpan hari ini adalah wang anda pada hari esok. Mulakan dengan sedikit dan sentiasa rajin menabung.

Jika anda menyimpan RM1 setiap hari, anda akan mempunyai RM30 pada akhir bulan.  Pada akhir tahun, ia akan berjumlah RM360 tetapi jika anda tidak mula menabung, anda tidak akan memiliki apa-apa pun.

Apabila anda memiliki sejumlah wang simpanan, buka akaun simpanan baharu bagi mengasingkan wang simpanan anda daripada akaun simpanan utama.

Ini bagi mengelakkan anda daripada menggunakan simpanan untuk perkara lain secara tidak sengaja!

Lindungi wang anda dengan tidak berkongsi nombor pin kad ATM dan kad kredit serta kata laluan perbankan dalam talian anda. Jangan simpannya di tempat yang mudah diakses seperti sehelai kertas di dalam dompet.

Sebaiknya, tukar kata laluan anda setiap 30 hari dengan menggunakan kombinasi huruf, simbol dan angka untuk menyukarkan orang lain daripada mengetahuinya.

Rancang terlebih dahulu dan pastikan masa depan yang mapan

Perancangan kewangan adalah satu kaedah mudah untuk memantau keadaan kewangan anda.

Terdapat banyak aplikasi yang anda boleh muat turun bagi memantau pembayaran berulang anda seperti komitmen dan bil bulanan serta perbelanjaan lain.

Anda juga boleh memilih cara yang lebih manual iaitu dengan merekodkan perbelanjaan anda ke dalam lembaran Excel atau buku nota.

Pada akhir setiap bulan, anda boleh melihat di mana anda membelanjakan sebahagian besar wang anda dan rancang bagaimana anda boleh menguruskannya dengan lebih baik pada bulan berikutnya.

Perlindungan diberikan PIDM memastikan hak pengguna sentiasa terjamin.

Lindungi diri anda daripada penipuan kewangan

Jangan lupa untuk melindungi wang anda daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jangan mudah ditipu oleh penipuan kewangan yang memberikan tawaran menarik atau menjanjikan pulangan tinggi pada masa yang singkat.

Sebagai contoh, terdapat individu atau syarikat yang mempromosikan pinjaman dan produk pelaburan yang didakwa dilindungi oleh PIDM.

Ini tidak benar kerana PIDM hanya melindungi deposit yang disimpan di bank ahli kami dan manfaat takaful serta insurans yang disediakan oleh ahli penginsurans kami.

Anda juga perlu ingat bahawa perlindungan PIDM disediakan secara automatik dan percuma!

Pengguna perlu tahu mengetahui skop dan had perlindungan yang disediakan bagi produk dan perkhidmatan kewangan yang berlainan.

Selain itu, pengguna juga harus tahu tentang pihak berkuasa yang mentadbir selaku penyedia perkhidmatan kewangan yang berbeza kerana ia boleh membantu anda daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

Dengan beberapa panduan ini, anda kini mampu menjadi pengguna kewangan yang lebih bijak.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti sepanjang Bulan Literasi Kewangan, layari laman web www.fenetwork.my.

Bagi maklumat lanjut mengenai PIDM pula, anda boleh layari laman web www.pidm.gov.my, hubungi talian tol percuma 1-800-88-1266 dan melawat laman Facebook PIDM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN