17/08/2017

Keputusan Hua Wei tinggalkan dunia balet berbaloi, raih emas pertama renang berirama

Keputusan Hua Wei tinggalkan dunia balet berbaloi, raih emas pertama renang berirama


Hua Wei berjaya merangkul pingat emas apabila mengumpul 73.8386 mata.

KUALA LUMPUR - Keputusan meninggalkan dunia balet dua tahun lepas berbaloi apabila perenang berirama negara, Gan Hua Wei meraih pingat emas acara rutin teknikal solo buat pertama kali dalam penampilan kali kedua dalam temasya Sukan SEA.

Hua Wei, 18, berjaya mencuri perhatian juri apabila meraih mata tertinggi 73.8386 mata untuk emas keempat kontinjen negara di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

"Masa saya naik pentas tadi, saya dengar sorakan penonton dan memberi rasa 'umphh' sikit untuk buat persembahan," katanya.

Menerusi gerak tari yang mantap, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya meraih markah tertinggi 22.9000 untuk impresi, 22.1000 untuk ketepatan dan 28.8386 untuk elemen.

" Saya memang gembira dapat menang emas kerana saya memang mahukannya. Saya mendapat kelebihan mata kerana faktor impresi saya lebih baik (berbanding perenang Singapura).

"Saya adalah penari balet bermua dengan tahap dua sebelum berhenti pada 2014 selepas menyertai pasukan renang berirama negara," katanya. - Bernama