16/08/2017

Kemasukan Thanabalan, Azam bakar kebangkitan Malaysia tewaskan Singapura 2-1

Kemasukan Thanabalan, Azam bakar kebangkitan Malaysia tewaskan Singapura 2-1

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI


Pemain gantian, Thanabalan (kiri) meraikan kejayaannya menjaringkan gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Singapura malam ini.

SHAH ALAM - Ketua jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017, Datuk Ong Kim Swee menganggap kemasukan dua pemain gantian, Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan N. Thanabalan menjadi antara faktor kebangkitan pasukan bimbingannya bangkit menewaskan skuad bawah 23 tahun (B-23) Singapura 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dalam aksi itu, skuad remaja dikejutkan dengan gol awal milik Singapura hasil daripada Muhammad Amiruldin Muhammad Nordin.

Pemain tengah Singapura itu bijak melepasi kawalan daripada benteng pertahanan skuad negara sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-37.

Bintang muda Pahang, Nor Azam Abdul Azih berjaya menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan hantaran daripada penyerang, Safawi Rashid menerusi rembatan kencang yang menewaskan penjaga gawang Singapura, Muhammad Zharfan Rohaizad pada minit ke-66.

Saat-saat yang dinantikan oleh peminat tanah air akhirnya tiba apabila pemain gantian, N. Thanabalan sekali lagi menjadi wira buat skuad negara dengan meledak gol kemenangan pasukan bimbingan Kim Swee.

Penyerang Felcra FC itu memanfaatkan peluang Zharfan gagal mendakap kemas rembatan Azam sekali gus Thanabalan yang tidak dikawal oleh pemain pertahanan Singapura mudah menolak masuk bola pada minit ke-73.

Mengulas lanjut, Kim Swee yang mengakui skuad B-23 Singapura tidak banyak memberikan ancaman di separuh masa kedua sambil mendedahkan kemasukan kedua-dua pemain itu telah memberikan impak positif kepada skuad bimbingannya.

"Sudah tentu pertukaran dua pemain ini sangat penting. Malah, kedua-dua pemain ini menjaringkan gol. Saya fikir kita tidak menemui 'ketua' dalam aksi separuh masa pertama dan saya berharap kita dapat tampil lebih bagus selepas ini (bertemu Myanmar untuk aksi ketiga Kumpulan A pada 21 Ogos)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee berharap anak-anak buahnya dapat mempelajari pengajaran berguna selepas bolos satu gol setiap satu perlawanan bermula bertemu Brunei yang mana beliau secara serius menuntut disiplin tinggi daripada skuad remaja ketika bertemu Myanmar.

Ini kerana Kim Swee menegaskan pertemuan Myanmar akan menjadi penentu skuad Projek Sukan SEA 2017 negara sama ada layak ke pusingan separuh akhir atau sebaliknya.

"Ia bagus kerana ia (kesilapan) itu berlaku awal ketika kita menentang Brunei dan Singapura. Jadi, kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan sebegini ketika menentang Myanmar nanti," katanya. - K! ONLINE