16/08/2017

Pemain No. 8 Malaysia jadi pemusnah nasib Singapura - Tardy

Pemain No. 8 Malaysia jadi pemusnah nasib Singapura - Tardy

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI


Pemain Singapura meluahkan kekecewaan mereka tewas 1-2 kepada Malaysia sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan.

SHAH ALAM - Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Singapura, Richard Tardy menganggap kehebatan Muhamad Nor Azam Abdul Azih menjadi faktor utama kekalahan pasukan bimbingannya tewas kepada skuad B-23 Malaysia, malam ini.

Dalam aksi kedua Kumpulan A acara Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam, Singapura mendahului pasukan tuan rumah menerusi gol rembatan jauh milik Muhamad Amiruldin Muhammad Nordin pada minit ke-37.

Bagaimanapun, pengendali skuad remaja negara, Datuk Ong Kim Swee memasukan pemain Pahang itu di awal babak kedua perlawanan dan ternyata pencaturan itu menyaksikan Azam berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66.

Azam sekali lagi menjadi duri dalam daging buat benteng pertahanan Singapura apabila terlibat di dalam jaringan kedua skuad Projek Sukan SEA 2017 yang dihasilkan oleh pemain gantian, N. Thanabalan pada minit ke-73.

"Pemain No. 8 (Azam) telah menjadikan perlawanan ini berbeza dan mengubah segala-galanya. Kemasukannya telah memberikan masalah kepada benteng pertahanan kami.

"Saya fikir kami bermain cukup baik dan cuba mengekalkan keputusan 1-0 (sehingga tamat perlawanan) tetapi kami gagal berbuat demikian untuk aksi separuh masa kedua apabila beberapa pemain utama kami ditimpa masalah kecederaan.

"Kami juga memiliki peluang terbaik tetapi malangnya gagal menyamakan kedudukan. Pasukan ini masih muda dan saya percaya perlawanan menentang Myanmar dan Malaysia memberikan pengajaran kepada kami," katanya. - K! ONLINE