15/08/2017

Malaysia sasar 700,000 pelancong asing sempena KL2017

Malaysia sasar 700,000 pelancong asing sempena KL2017


Mohamed Nazri (dua dari kanan) yakin sasaran 700,000 pelancong dapat dicapai.

SHAH ALAM - Malaysia menyasarkan kira-kira 700,000 pelancong asing bakal mengunjungi negara ini sempena penganjuran temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau yakin sasaran berkenaan boleh dicapai kerana temasya itu merupakan antara acara sukan gilang-gemilang serta dinantikan oleh semua lapisan masyarakat termasuk dari negara jiran.

"Kami positif berhubung perkara ini kerana acara ini sememangnya satu acara yang boleh menarik ramai pelancong asing ke negara kita.

"Ini juga kerana lokasi Malaysia berada di tengah-tengah rantau Asia Tenggara memudahkan pelancong luar untuk datang ke sini dengan menggunakan pelbagai kemudahan pengangkutan termasuklah menerusi jalan laut dan udara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Red Carpet 2, muzium lilin interaktif kedua yang dibuka di i-City, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, penganjuran temasya dwitahunan itu juga merupakan platform terbaik yang mampu menjana pendapatan kepada negara.

"Kami melihat penganjuran Sukan SEA ini boleh menjana pendapatan kepada negara khususnya dalam industri pelancongan dan perhotelan dengan kemasukan pelancongan asing sudah semestinya hotel-hotel di sini giat beroperasi dalam menyediakan penginapan kepada pelancong asing yang turut hadir ke temasya itu nanti," katanya.

Sukan SEA bakal berlangsung 19 hingga 30 Ogos ini dan ia merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu yang turut disertai 10 negara Asia Tenggara. - Bernama