15/08/2017

Safawi masih belum puas, ikrar baiki prestasi pada pertemuan dengan Singapura esok

Safawi masih belum puas, ikrar baiki prestasi pada pertemuan dengan Singapura esok


Safawi meraikan jaringannya ketika membantu Malaysia menewaskan Brunei 2-1 malam tadi.

SHAH ALAM - Penyerang skuad Bawah 22 (B-22) negara, Muhd Safawi Rasid masih belum berpuas hati dengan persembahannya walaupun mencipta jaringan ketika Malaysia menang tipis 2-1 ke atas Brunei pada aksi pembukaan bola sepak Kumpulan A pada Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pemain Johor Darul Takzim itu yang menjaringkan gol pembukaan untuk skuad negara pada perlawanan berkenaan menegaskan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dalam memperkemaskan sentuhan penyudah di depan pintu gol lawan.

"Persembahan saya memang kurang bagus kerana kerap hilang bola ketika cuba menyerang kubu Brunei dan saya perlu perbaiki kelemahan itu sebelum pasukan kita turun menentang Singapura, di sini pada Rabu ini.

"Saya akui ada banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan menentang Brunei tapi mungkin tiada rezeki untuk saya menambah lebih banyak gol," kata Muhd Safawi ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan, malam tadi.

Berkongsi pandangan sama adalah seorang lagi penyerang muda negara, Muhammad Syafiq Ahmad yang mengakui jentera serangan skuad negara agak terburu-buru ketika melakukan percubaan ke pintu gol Brunei.

"Sentuhan penyudah pasukan kita agak kurang sikit pada perlawanan ini tapi ada sedikit peningkatan berbanding persembahan terdahulu ketika kami menyertai pusingan kelayakan B-23 di Bangkok, baru-baru ini.

"Kami tidak ambil mudah pertemuan malam ini, cuma mungkin disebabkan kami beraksi di laman sendiri, maka setiap pemain begitu teruja untuk melakukan serangan ke pintu gol Brunei dan ia boleh dijadikan sebagai satu pengajaran untuk perlawanan selepas ini," tegas penyerang skuad Liga Super Kedah itu.

Pada aksi berkenaan, Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan voli Muhd Safawi sebelum Mohamed Zulkhairy Hady Razali menyamakan kedudukan untuk Brunei, selang lapan minit kemudian.

Adam Nor Azlin muncul wira skuad muda negara selepas menanduk masuk gol kemenangan negara pada minit ke-60, hasil sepakan sudut Muhd Safawi. - Bernama