15/08/2017

Tiga mata milik Malaysia

Tiga mata milik Malaysia

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI


Pemain Malaysia, Muhammad Daniel Amier Norhisham (kanan) yang diasak dengan pemain Brunei, Ak Yura Indera Putera Pg Yunos (kiri) pada perlawanan bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia menentang Brunei di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

SHAH ALAM - Situasi di Stadium Shah Alam agak cemas seketika malam tadi apabila rentak permainan skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara nampak longgar pada penghujung babak pertama.

Mana tidaknya, selepas Safawi Rashid menjaringkan gol pembukaan pada minit keempat, mereka seakan-akan hilang punca walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu.

Keadaan menjadi serba tidak menjadi buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu selepas Brunei berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi jaringan Mohamed Zulkhairy Hady Razali yang bijak melepaskan diri daripada perangkap ofsaid dilakukan oleh barisan pertahanan negara.

Selepas jaringan penyamaan itu, rentak permainan kedua-dua pasukan nampak seimbang dan mereka sering berbalas serangan.

Malaysia yang memiliki deretan peluang untuk menambah jaringan gagal menyempurnakannya dengan baik ekoran sentuhan penyudah lemah.

Pada separuh masa kedua, skuad negara tampil dengan rentak lebih bertenaga, namun mereka masih mendapati sukar untuk meloloskan diri daripada kepungan jentera pertahanan Brunei.

Begitupun, Adam Nor Azlin tampil sebagai penyelamat apabila mudah menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-60 menerusi sepakan sudut daripada Safawi.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan walaupun aksi tersebut bakal menyaksikan skuad negara berpesta gol tetapi sebaliknya berlaku apabila berdepan tentangan sengit daripada Brunei.

Esok, skuad negara akan menentang Singapura di Stadium Shah Alam. - K! ONLINE