14/08/2017

KL2017: Malaysia buka langkah kanan dalam acara bola jaring

KL2017: Malaysia buka langkah kanan dalam acara bola jaring

Atlet bola jaring negara, An Najwa Azizan (tengah) cuba mendapatkan bola pada saringan awal acara bola jaring Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Juara Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR - Skuad bola jaring negara memulakan kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan langkah kanan selepas melakarkan kemenangan selesa 73-30 ke atas Thailand dalam aksi pembukaan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Malaysia, selaku juara Asia, seperti diduga menguasai perlawanan dengan mendahului 18-10 pada suku pertama perlawanan sebelum menambah 17 mata pada suku kedua berbanding lima mata oleh Thailand.

Skuad negara bimbingan jurulatih dari Australia, Tracey Robinson, kembali semula dengan garang selepas waktu rehat untuk terus menambah 17 mata pada suku ketiga diikuti 21 mata pada suku terakhir perlawanan.

Skuad Thailand pula sekadar meraih enam dan sembilan mata pada suku ketiga dan keempat.

Malaysia, yang memburu pingat emas di laman sendiri selepas dikecewakan Singapura 46-43 pada final edisi lepas di Singapura pada 2015, akan menentang Brunei pada jam 5.15 petang esok. - Bernama