14/08/2017

KL 2017: Lebih 1,000 anggota tentera ditempatkan di 38 lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya

KL 2017: Lebih 1,000 anggota tentera ditempatkan di 38 lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya




KUALA LUMPUR - Lebih 1,000 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia menjaga ketenteraman dan keselamatan sepanjang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung 19 hingga 30 Ogos ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ATM akan bekerjasama dengan pihak polis sebagai pasukan barisan hadapan bagi melakukan kawalan dan rondaan di 38 lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara berada pada tahap tertinggi sepanjang temasya itu.

"Antara lokasi tersebut adalah KLCC, Bukit Bintang, KL Sentral, Terminal Bersepadu Selatan, Stadium Shah Alam, Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Bangunan Putrajaya dan lain-lain lokasi yang dirasakan perlu untuk dipantau serta dikawal," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Kumpulan Siap Sedia ATM sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini. - Bernama