13/08/2017

KL 2017: Lebih banyak ujian doping dijalankan

KL 2017: Lebih banyak ujian doping dijalankan




KUALA LUMPUR - Lebih banyak ujian dadah akan dijalankan pada Sukan SEA Kuala Lumpur termasuk pemeriksaan darah yang diperkenalkan pada Sukan Singapura untuk membersihkan temasya itu daripada penipu.

Lebih 4,000 atlet dari 11 negara bakal berdepan teknologi anti-doping canggih mengikut standard ujian dadah Olimpik, menurut Datuk Dr S. S. Cheema, yang mengetuai Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Kuala Lumpur 2017.

"Tidak mungkin dapat melepaskan diri kerana kami akan melakukan ujian air kencing dan juga sampel darah.

Sebaik sahaja atlet mendaftar masuk ke bilik hotel mereka, kami akan mula melakukan ujian secara rawak atau ujian selepas pertandingan pada bila-bila masa.

Pemenang pingat akan diuji 100 peratus," katanya kepada Bernama menjelang pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu pada 19 Ogos.

Jumlah ujian akan lebih banyak pada kali ini kerana Malaysia menganjurkan 38 jenis sukan membabitkan 404 acara berbanding 36 jenis sukan dan 402 acara di Singapura, kata Dr Cheema.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan berapa banyak sampel akan diuji berbanding lebih 600 oleh negara pulau itu.

Beliau menerajui pasukan 150 petugas termasuk 80 pegawai kawalan anti-doping daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) untuk mengambil sampel yang akan dihantar untuk ujian di New Delhi, India, dan keputusannya dijangka dalam tempoh seawal 48 jam. - Bernama