VARIA

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.


SETIAP pasangan pengantin pasti mengimpikan satu majlis perkahwinan yang meriah dan berjalan lancar. Hari bersejarah itu perlu dirancang dengan teliti kerana kesilapan yang kecil mampu merosakkan kelangsungan majlis tersebut.

Selain kekangan kewangan, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga juga sering menghadapi masalah mencari lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan yang diidamkan.

Menyedari permasalahan itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Razali di Ampang Jaya, Selangor mengambil inisiatif dengan menawarkan pakej perkahwinan serba lengkap dengan harga yang berpatutan.

Menurut Pengetuanya, Norwati Muhamad, mereka memberi peluang kepada pasangan mencari venue alternatif untuk hari bahagia mereka.

Bertemakan Raikan Cinta #tillJannah, beliau berharap, ia akan menjadi pilihan kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

“Ini adalah majlis pertama dan menjadi batu loncatan kepada koperasi kami untuk mendedahkan kepada masyarakat luar. Sebelum ini, kami pernah buat perkahwinan di sekolah tetapi bukan dianjurkan oleh koperasi.

“Permintaan sentiasa ada daripada masyarakat sekitar dan pihak luar untuk mengadakan majlis perkahwinan di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, inisiatif itu juga mendapat kerjasama daripada Angkatan Koperasi Malaysia Bhd. (Angkasa) dan turut dirasmikan oleh pengerusinya, Datuk Abdul Fattah Abdullah di dataran perhimpunan sekolah.

“Koperasi ini telah beroperasi sejak September 2008 manakala minimum saham bagi seorang adalah sebanyak RM10 dan maksimum RM1,000.

Projek perintis

“Beroperasi di tapak bekas kedai buku sekolah, sehingga kini keahlian koperasi SMK Dato’ Ahmad Razali mencecah seramai 342 orang,” kata Norwati yang turut memegang jawatan pengerusi koperasi berkenaan.

Sementara itu, Abdul Fattah memberitahu, masyarakat khususnya di Ampang kini tidak menghadapi masalah untuk mencari lokasi perkahwinan bagi anak-anak mereka.

“Kami harap, pakej yang diperkenalkan oleh SMK Dato’ Ahmad Razali ini akan menyelesaikan masalah lokasi yang menjadi penghalang kepada pasangan untuk meraikan hari bahagia mereka.

“Kalau kita sewa dewan di luar kawasan sekolah ini, barangkali harganya lebih mahal. Harga yang ditawarkan di sini lebih kompetitif dan perkhidmatannya lebih baik berbanding di luar,” ujarnya.

Abdul Fattah menambah, ini merupakan kali pertama beliau melihat pakej seumpamanya ditawarkan oleh pihak koperasi sekolah.

Katanya, jika dibandingkan dengan koperasi masjid, pakej itu memang diadakan tetapi bagi koperasi sekolah, ia adalah projek perintis.

“Untuk mengadakan majlis perkahwinan, kita memerlukan ruang terutamanya bagi individu yang tinggal di kawasan bandar.

“Ia mungkin menjadi satu halangan bagi mereka yang ingin mendapatkan kemudahan seperti dewan.

“Hal ini berbeza dengan kawasan sekolah ini kerana mereka mempunyai kawasan lapang, jadi ia tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Abdul Fattah berharap, pelancaran pakej itu dapat mempelbagaikan cabang perniagaan koperasi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, sekali gus menambahkan lagi keuntungan koperasi dan seterusnya dapat dikongsi semula warga sekolah.

Pakej Raikan Cinta #tillJannah itu menawarkan tiga pakej istimewa iaitu Ekonomi pada kadar RM12.50 seorang tetamu, Premium (RM14.50) dan Eksklusif (RM16.50) untuk minimum 1,000 orang tetamu.

Ketika ini, majlis perkahwinan hanya boleh diadakan pada setiap hari Sabtu dan ia bergantung kepada jadual semasa persekolahan.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut mengenai pakej yang ditawarkan, orang ramai boleh hubungi talian 013-363 7146.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 47