RENCANA UTAMA

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.


MENIKMATI perjalanan jauh terutamanya ke luar negara pastinya memerlukan perancangan rapi. Bermula daripada pemilihan tarikh, pembelian tiket kapal terbang, perancangan aktiviti, tempahan tempat tinggal sehingga mengkaji cuaca negara yang dilawati, segalanya perlu dibuat dengan teliti.

Satu lagi perkara mustahak ialah rakan melancong yang akan mengikuti perjalanan tersebut.

Ia diakui Mohd. Rafaee Mazlan, 26, yang akan memastikan terlebih dulu siapa rakan atau pasangannya ketika melancong.

“Jika bercuti bersama keluarga saya akan memilih tempat yang tidak menyukarkan mereka. Misalnya, lokasi yang mesra kanak-kanak supaya senang untuk membawa kereta sorong seperti di Jepun.

“Sekiranya bercuti bersama rakan-rakan, saya sudah pasti akan memilih lokasi yang lebih mencabar seperti kawasan untuk aktiviti mendaki seperti Yogyakarta, Indonesia,” ujar pekerja bank itu ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Bagi Mohd. Rafaee, menentukan rakan melancong amat penting supaya tidak berlaku masalah pada kemudian hari.

Bagaimanapun, stigma anak kedua daripada lima adik-beradik itu berubah apabila menyertai percutian yang dianjurkan oleh sebuah syarikat pelancongan, Trip Adik Beradik (TAB) ke Osaka dan Kyoto, Jepun hujung tahun lalu.

Katanya, mengikuti kumpulan itu bersama 30 orang yang tidak dikenali membuatkan pandangannya sedikit berubah tentang rakan seperjalanan ketika melancong.

“Pertama kali melancong menggunakan pakej pelancongan seumpama itu membuatkan saya rasa seronok walaupun pada awalnya agak gusar jika tidak serasi.

“Namun, segala-galanya berjalan lancar. Bersama rakan melancong daripada pelbagai peringkat umur, saya rasa lebih meriah dan menghiburkan. Kami melakukan aktiviti seperti memasak dan berkelah bersama-masa,” tuturnya yang pernah melancong ke Indonesia, Singapura, Thailand dan Australia.

Menurutnya, khidmat pelancongan yang disediakan oleh TAB unik. Ini kerana, ia menawarkan percutian menaiki karavan yang perlu dikongsi bersama individu tidak dikenali. Sebuah karavan boleh memuatkan enam orang.

Kelainan

TAB adalah sebuah syarikat pelancongan yang ditubuhkan lima tahun lalu. Pemilik TAB, Mohd. Shaifulizam Kornia, 34, menawarkan percutian menggunakan karavan sebagai tempat penginapan dan pengangkutan ketika melancong.

Karavan atau lebih dikenali dengan panggilan RV (Recreational Vehicle) boleh diibaratkan seperti rumah bergerak. Di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Ia telah wujud di benua Eropah semenjak tahun 1810 dengan menggunakan kenderaan berbentuk wagon. Selain mengangkut barang, ia turut dijadikan tempat tinggal pada zaman dahulu kerana kekurangan hotel mahupun rumah tumpangan.

Memandangkan karavan masih belum popular di Malaysia, Mohd. Shaifulizam ingin memperkenalkan kenderaan itu kepada rakyat di negara ini.

“Ketika itu, saya ingin mencari kelainan. Saya berfikir apakah kaedah terbaharu yang boleh diketengahkan untuk menarik minat pelancong supaya menggunakan dan memilih perkhidmatan TAB.

“Saya terfikir konsep melancong dengan karavan kerana lima tahun lalu ia masih belum popular,” ujarnya yang meninggalkan jawatan sebagai jurutera perisian yang disandang selama tujuh tahun selepas perkhidmatan itu mendapat sambutan hangat.

Kasih sayang


MOHD. SHAIFULIZAM bersama pekerjanya, Aysha Rosman (tengah) dan Mimi Suhana komited menaikkan nama TAB dalam kalangan pelancong.


Melalui percutian dengan karavan juga, TAB berjaya membentuk sebuah komuniti dengan merapatkan lagi kaki melancong yang sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

“Memandangkan percutian dengan karavan memerlukan kami bergerak dan melakukan aktiviti seperti memasak dalam satu kumpulan jadi kami telah terapkan daripada awal iaitu setiap pelanggan adalah keluarga dan adik-beradik.

“Kami mahu pupuk rasa erat dan kasih sayang supaya sepanjang percutian mereka, satu ikatan silaturahim dapat dipupuk. Selain perjalanan akan lebih lancar, ia dapat menerbitkan pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya.

Menurut Mohd. Shaifulizam, TAB ditubuhkan bersama isterinya, Khairun Nissah Khiyon, 31, atas dasar mereka suka mengembara.

Pada peringkat awal, pasangan itu berjaya mengatur percutian menaiki karavan untuk dua buah keluarga ke Melbourne, Australia.

Ketika itu, TAB memberi fokus kepada pelancongan di Australia dan New Zealand yang mesra pengangkutan karavan.

Kini, mereka menawarkan percutian ke lebih 15 lokasi antaranya Iceland, India, Turki dan Korea. Pakej yang disediakan bermula daripada RM999 hingga RM3,150 seorang.

Mahkamah

Sementara itu, Konsultan Pelancongan TAB, Mimi Suhana Redzuan, 22, berkata, menariknya sepanjang percutian berkenaan, TAB cuba mengelakkan daripada berkunjung ke lokasi-lokasi tipikal.

“Misalnya, kami akan melalui kawasan dengan pemandangan indah seperti Mount Cook dan Milford Sound jika ke New Zealand manakala ke Ballarat dan Mount Buller jika ke Australia.

“Kebanyakan tempat berkenaan masih belum terkenal dan terusik. Jadi ramai kaki jalan di luar sana yang teruja untuk ke lokasi yang kami bawa,” ujar pemegang Diploma Pengurusan Pelancongan, Universiti Limkokwing, Cyberjaya itu.

Jadi, tidak hairanlah hampir 40 peratus pelanggan TAB adalah mereka yang pernah menggunakan karavan.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang lima tahun berkecimpung dalam perkhidmatan pelancongan, Mimi memaklumkan, masalah komunikasi antara cabaran utama.

“Ramai pelanggan kami datang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang mudah faham, manakala ada yang memerlukan lebih penerangan.

“Kami mencuba sebaik mungkin untuk menerangkan apa sahaja soalan yang terbuku di hati mereka,” ujarnya.

Tambah Mimi, pihaknya terpalit dengan satu kenangan pahit ekoran pelanggan salah faham tentang perkhidmatan yang mereka tawarkan.

“Pelanggan salah faham tentang perkhidmatan yang kami tawarkan. Mereka tidak berpuas hati dan membawa kes tersebut ke mahkamah. Mujur kami menang dalam perbicaraan tersebut,” jelasnya.

Bagaimanapun, kejadian berkenaan telah menjejaskan perniagaan mereka dan memerlukan masa enam bulan untuk mengukuhkan kembali pulih.

Selain itu, katanya, bencana alam yang berlaku di negara yang ingin dilawati juga antara cabaran buat mereka. Segala perancangan perlu dirombak semula bagi memastikan keselamatan pelanggan-pelanggan terjamin.

Mengenai pelan jangka panjang, Mimi Suhana memberitahu, TAB merancang untuk mewujudkan pakej umrah dengan harga berpatutan pada tahun hadapan.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 47