RENCANA UTAMA

Generasi akhir bina kereta lembu

Generasi akhir bina kereta lembu



SEBATANG kayu reput dialihkan lelaki berusia awal 40-an itu kerana menghalang laluannya semasa kaki melangkah masuk ke dalam sebuah bengkel usang. Beberapa peralatan pertukangan kelihatan terbiar begitu sahaja seolah-olah ia sudah lama tidak ‘dikerah’ membuat kerja.

Semak samun yang tumbuh meliar di keliling kawasan bengkel itu cukup memberi gambaran bahawa pemiliknya sudah lama tidak membanting kudrat mengusahakan kegiatan yang cukup disayanginya suatu masa dahulu.

Melihat keadaan bengkel yang terbengkalai itu, air muka pemiliknya, Samsudin Abdul, 40, kelihatan sedikit sayu mengenang memori bersama arwah bapanya.

Satu persatu kenangan mula diimbas pada layar fikirannya bagaimana dia bersama arwah bapa mengerah keringat ketika masih aktif membuat kereta lembu di Melaka.

Namun, itu dahulu, zaman sewaktu kereta lembu meniti waktu rancak hingga ia bukan sahaja menjadi alat pengangkutan penduduk kampung, malah turut menjadi simbol ikon negeri Melaka.

Jelas Samsudin, keluarganya merupakan antara pelopor terawal dalam pembuatan kereta lembu di Melaka dan dia merupakan generasi kelima yang mengusahakannya.

“Sejak daripada zaman moyang sehinggalah kepada saya, bidang pembuatan kereta lembu ini diperturunkan daripada generasi ke generasi,” tutur Samsudin semasa ditemui di bengkelnya di Jalan Tambak Bugis, Telok Mas, Melaka.

Generasi terakhir

Samsudin menambah, mungkin dia generasi terakhir yang mewarisi minat dan bakat membuat kereta lembu, memandangkan dia sendiri tidak melihat waris yang akan meneruskan legasi tersebut.

“Kali terakhir saya membuat kereta lembu ialah dua tahun lepas bersama arwah bapa.

“Sehingga kini, saya seakan tawar hati untuk meneruskannya selepas tiada permintaan untuk membuatnya,” katanya.

Bercerita lanjut, Melaka cukup sinonim dengan kereta lembu selepas ia mula bertapak di Tanah Melayu sekitar abad ke-15 apabila diperkenalkan oleh pedagang dari India ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.


SAMSUDIN memeriksan bahagian yang dipanggil kayu kandar yang dipasang pada lembu untuk ditarik.


Pada ketika itu, kereta lembu menjadi salah satu pengangkutan darat untuk mengangkut barang-barang keperluan harian oleh pedagang India, sebelum orang Melayu turut menggunakannya dan mengolah serba sedikit reka bentuknya bercirikan kemelayuan.

“Penggunaan kereta lembu di Melaka sangat meluas sehinggakan hampir kebanyakan penduduk, terutamanya di sekitar Bukit Lintang, Air Molek dan Telok Mas mempunyai kenderaan itu,” tutur Samsudin.

Semakin terpinggir

Kemuncak zaman kegemilangan kereta lembu adalah sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an, terutamanya ketika menyambut pesta dikenali sebagai Mandi Safar di Melaka.

Pada ketika itu, semua pemilik akan berarak beramai-ramai menuju ke pantai dan menghias kereta lembu mereka. Ini kerana, pertandingan kereta lembu berhias turut diadakan.

Perkembangan arus semasa terutamanya ketika masyarakat mampu untuk memiliki kereta bermotor, pengangkutan kereta lembu semakin terpinggir. Ada penggiat menjual kereta lembu mereka dan yang tinggal hanyalah kelompok yang masih meneruskannya termasuk Samsudin dan bapanya.

Seawal usia empat tahun, Samsudin telah mengemudi kereta lembu. Dalam kalangan adik-beradiknya, semua anak lelaki perlu menolong dan mengambil tahu serba sedikit ilmu dalam membuat kereta lembu yang menjadi rutin harian keluarga.

Namun, hanya Samsudin yang dilihat satu-satunya pewaris yang lebih cenderung untuk meneruskan usaha membuat kereta lembu berbanding abang-abangnya yang lain.

Menceritakan permulaannya dalam membuat kereta lembu, Samsudin menggunakan waktu hujung minggu untuk bertukang dengan menghabiskan kerja yang tidak sempat disiapkan bapanya.

Jelas Samsudin lagi, bapanya tidak pernah mengajarnya secara terperinci untuk membuat kereta lembu, sebaliknya tunjuk ajar yang diberikan hanya dalam bentuk teguran sinis dan dia perlu berfikir sendiri cara penyelesaiannya.




Untuk kereta lembu pertama yang dihasilkan sendiri ketika berusia awal 20-an, Samsudin mengambil masa selama setahun untuk menyiapkannya.

Bagi pengendali kereta lembu terutamanya orang-orang tua, Samsudin memberitahu, sesebuah kereta lembu itu mempunyai sifatnya tersendiri.

Menurutnya, kereta lembu yang bergerak akan menghasilkan alunan bunyi pukulan tersendiri terhasil daripada rodanya.

“Mengikut penilaian seni orang lama-lama, jika kereta lembu itu tidak menghasilkan alunan bunyi pukulan tersebut, ia dianggap tidak sempurna,” ujarnya.

Berakhir

Jelas Samsudin, bahagian pada kereta lembu yang paling sukar untuk dibuat ialah roda. “Pada bahagian roda, terdapat tujuh keping kayu yang disambungkan menjadi bentuk bulat.

“Untuk roda, terdapat beberapa bahagian iaitu jejari, gantang, tapah, cupai dan simpai. Bahagian jejari pula selalunya akan mudah pecah semasa diketuk dan ia perlu dilakukan secara berhati-hati,” katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang tersebut, Samsudin yang juga pengerusi kelab Pemilik Kereta Lembu Melaka telah menyiapkan lebih daripada 30 buah kenderaan itu sama ada ditempah oleh orang persendirian dan juga pemilik resort untuk dijadikan prop pameran.

Sama seperti sebuah rumah yang tidak didiami, lama kelamaan pasti ia akan mereput.

Sama juga sifatnya dengan kereta lembu, namun ia turut bergantung pada kualiti dan jenis kayu yang digunakan. Manakan tidak, terdapat bahagian pada kereta lembu yang digunakan pada hari ini telah berusia lebih 60 tahun dan masih kukuh.

Warisan kereta lembu Melaka dilihat sampai ke zaman kejatuhannya, malah tidak mustahil suatu hari nanti, generasi akan datang tidak pernah tahu akan kewujudan kereta lembu yang pernah menjadi kebanggaan Melaka.

“Semuanya saya serahkan pada takdir kerana secara jujur, saya tidak nampak penyambung yang mahu meneruskan usaha membuat kereta lembu.

“Saya harap pihak bertanggungjawab dapat membantu mengekalkan kereta lembu sebagai salah satu ikon pelancongan terutamanya di Melaka,” kata Samsudin penuh harapan.

Process time in ms: 63