DUNIA

Trump terus ancam Korea Utara

Trump terus ancam Korea Utara

TRUMP (tengah) bercakap pada sidang akhbar di kelab golf miliknya di Bedminster, New Jersey kelmarin. - AFP


BEDMINSTER, New Jersey – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan satu amaran terbaharu kepada Pyongyang kelmarin dengan menyatakan bahawa tentera AS bersedia untuk bertindak ke atas Korea Utara ketika mereka mendakwa AS menjalankan latihan ketenteraan di Semenanjung Korea.

Pentagon berkata, AS dan Korea Selatan akan meneruskan rancangan untuk menyertai latihan ketenteraan bersama selama 10 hari iaitu satu tindakan yang akan menerima tentangan hebat dari Korea Utara.

Trump yang menggesa China untuk membantu mengekang tindakan sekutunya, Korea Utara telah menghubungi Presiden China, Xi Jinping kelmarin.

Kedua-dua pemimpin berkenaan telah mengulangi komitmen bersama dalam usaha menghapuskan program nuklear di Semenanjung Korea, kata White House dalam satu kenya­taan.

“Trump dan Jinping bersetuju bahawa Korea Utara perlu menghentikan kenya­taan provokasi selain tindakan yang boleh mencetuskan peperangan,” kata kenyataan itu sambil menambah hubungan antara kedua-dua pemimpin adalah sangat rapat.

Trump dan Jinping dikatakan turut bersetuju untuk menerima pakai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan daripada ancaman Korea Utara.

Ia dikatakan satu langkah penting bagi mengecapi keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea, kata kenyataan itu.

Trump yang sedang bercuti di kelab golf miliknya di New Jersey sekali lagi merujuk kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dalam ucapan terakhirnya kelmarin.

“Tentera kami kini secara sepenuhnya telah ditempatkan, locked & loaded, iaitu satu langkah sekiranya Korea Utara mengambil tindakan tidak bijak.

“Semoga, Jong-un mencari tindakan lain,” tulis Trump di Twitter.

Terma locked & loaded pernah popular dalam filem perang tahun 1945 bertajuk Sands of Iwo Jima yang dibintangi oleh aktor AS, John Wayne iaitu merujuk kepada persediaan melakukan serangan. – Reuters

Process time in ms: 47