DUNIA

Bas langgar terowong di China, 36 terbunuh

Bas langgar terowong di China, 36 terbunuh


Bas yang terlibat dalam kemalangan di hadapan terowong Qinling, selatan Shaanxi, utara China ditutup dengan lembaran plastik semalam. - AFP


BEIJING – Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dan 13 cedera apabila sebuah bas yang sarat dengan penumpang merempuh dinding pintu masuk sebuah terowong lebuh raya di utara China, kata pihak berkuasa semalam.

Pihak berkuasa berkata, bas itu melanggar dinding hadapan terowong Qinling di Ankang, sebuah bandar di wilayah Shaanxi malam kelmarin.

“Bas ini remuk,” kata pihak ber­kuasa sambil menambah, punca kemalangan masih disiasat.

Kemalangan berlaku semasa bas berkenaan bergerak dari Chengdu, wilayah Sichuan di barat daya China menuju ke bandar Luoyang, tengah negara itu.

Semua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital. Ketika kejadian, bas yang mempunyai kapasiti 51 orang itu membawa seramai 49 penumpang.

Media tempatan melaporkan, dua kanak-kanak dipercayai menaiki bas itu.

Kemalangan maut merupakan perkara biasa di China di mana peraturan lalu lintas kerap dilanggar atau tidak dikuatkuasakan oleh pihak polis.

Lebih 180,000 kemalangan jalan raya dan 58,000 kematian dicatatkan di negara itu dalam tahun 2015, kata pihak berkuasa pada Disember tahun lalu. – AFP

Process time in ms: 31