KETIKA Kementerian Kesihatan Malaysia menubuhkan Unit Perubatan Tradisional pada tahun 2001, Adzhar Latif dapat merasakan dunia perubatan Melayu bakal diangkat sama tinggi seperti perubatan moden satu hari nanti.
Ternyata telahan pengamal perubatan tradisional Melayu berusia 61 tahun itu tepat apabila pada tanggal 15 Mac 2012, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Fasa ke 2 Akta 775 iaitu Pendaftaran Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari.
Bertitik tolak daripada penggubalan akta itu juga membolehkan bidang tersebut diwujudkan di dalam pusat kecemerlangan sama seperti bidang perubatan moden yang lain apabila Kolej Universiti Genovasi, Petaling Jaya, Selangor menawarkan program pengajian perubatan tradisional menerusi Sekolah Perubatan Tradisional Melayu (School of Traditional Malay Medicine).

Berpengalaman selama 37 tahun sebagai pengamal perubatan tradisional dan merupakan pengasas tiga persatuan perubatan Melayu iaitu Yayasan Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia, Persatuan Mamacare Malaysia dan Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia, Adzhar dipilih untuk menjadi dekan fakulti tersebut sekali gus mengetuai dan menjadi tunjang utama bagi kursus yang julung kali ditawarkan di negara ini.
“Saya bersyukur dengan limpah izin daripada-Nya, dunia perubatan Melayu tradisional kini diberi pengiktirafan apabila amalan warisan nenek moyang sudah berada di dalam arus perdana.
“Sekarang ini dunia perubatan tradisional Melayu hanyalah sebagai pelengkap perubatan moden dan banyak lagi pembaharuan akan dilakukan.
“Bagaimanapun, saya mahu melihat dunia perubatan tradisional berdiri sama tinggi seperti perubatan moden, seterusnya mendukung usaha kerajaan mengangkat martabat industri yang merupakan amalan warisan bangsa dan khazanah negara yang wajib dipelihara,” katanya.
Sering kali mewakili negara dalam pelbagai persidangan perubatan tradisional di peringkat antarabangsa dan menjadi penceramah jemputan di dalam bidang berkaitan, kepakarannya di dalam dunia perubatan tradisional Melayu itu juga melayakkan Adzhar diberi penganugerahan Sarjana Kehormat dan dilantik sebagai Profesor Adjung oleh pihak kolej universiti itu.
“Ini merupakan titik permulaan bagi institusi pengajian tinggi yang mana buat pertama kalinya, pengiktirafan diberikan untuk melantik Profesor Adjung berdasarkan pengalaman, ilmu dan sumbangan kepada industri.
“Saya berasal dari negeri Pahang yang mana kaya dengan seni perubatan tradisional. Saya menceburkan diri dalam dunia perubatan tradisional kerana warisan nenek moyang terdahulu yang ada mengamalkan perubatan Melayu.
“Pada waktu itu perubatan tradisional melayu lebih menjerumus kepada pokok kayu-kayan dan bahan-bahan alam yang berada di sekitar serta bersesuaian dengan komuniti masyarakat bagi satu-satu kawasan,” ceritanya lanjut.

Begitupun, seiring dengan peredaran zaman, dunia perubatan tradisional Melayu kini lebih meluas dan dipelbagaikan.
Pun begitu, perubatan ini yang banyak menggunakan bahan-bahan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan dan herba telah diterima dengan penuh minat oleh masyarakat Melayu di Malaysia kerana merupakan kaedah yang selamat dan tidak memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan manusia.
Bercerita lanjut mengenai jurusan yang julung kalinya ditawarkan di negara ini menurut Adzhar, kursus tersebut sudah bermula pada Februari lalu yang mana lebih 50 orang pelajar telah mendaftarkan diri untuk mendalami dunia perubatan tradisional.
Menariknya bukan sekadar ditawarkan di peringkat pensijilan, jurusan tersebut turut ditawarkan sehingga ke peringkat kedoktoran falsafah.
“Kita adakan program-program yang tersusun dan bersistem dan sedang mendapatkan akreditasi pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Selain itu, kami juga menjalankan program profesional iaitu pembelajaran sepanjang hayat yang menjurus kepada perubatan Melayu tulen.
“Silibus pelajaran dibuat berpandukan cabang amalan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan iaitu urutan Melayu, bekam, penjagaan ibu selepas bersalin dan rawatan herba.
“Kita mahu dunia perubatan tradisional ini diangkat sama tinggi seperti bidang perubatan moden. Justeru setiap cabang ini akan disuntik dengan nilai-nilai saintifik menerusi silibus-silibus seperti anatomi dan fisiologi serta lain-lain lagi bagi memperkukuh lagi amalan perubatan tersebut.
“Di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah pula kita akan mendedahkan pelajar kepada penyelidikan dan kajian secara saintifik kerana mahu perubatan Melayu menjurus kepada perubatan berasaskan pembuktian,” jelasnya.

Tempoh pengajian sama seperti jurusan lain iaitu tiga tahun di peringkat diploma dan lima tahun di peringkat sarjana muda.
Ditanya mengenai peluang pekerjaan dalam kalangan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian dalam jurusan tersebut, Adzhar dengan begitu positif menegaskan jurusan tersebut menawarkan lapangan kerjaya yang luas.
“Mengambil contoh penjagaan ibu bersalin, permintaan terhadap individu yang mempunyai kepakaran menguruskan hal-hal ini sangat tinggi.
“Bagaimanapun, tidak ramai yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan ini. Dari situ kita dapat lihat masih ramai dalam kalangan masyarakat hari ini percaya akan bidang perubatan tradisional Melayu.
“Ini kerana, bidang perubatan tradisional Melayu menggunakan pendekatan secara holistik tidak melibatkan aspek fizikal sahaja. Sebaliknya turut menekankan aspek kerohanian dan spiritual menyebabkan ia dipandang,” tambahnya.
Biarpun bidang perubatan tradisional Melayu telah digunakan sejak ratusan tahun lalu, namun kecanggihan teknologi hari ini menyebabkan ia sering kali diperlekehkan sesetengah pihak.

Memahami perbezaan doktrin sesetengah individu yang sukar untuk menerima dan percaya perubatan Melayu, namun Adzhar yakin kewujudan jurusan ini yang disertakan dengan kajian dan pembuktian saintifik mampu meningkatkan kepercayaan individu satu hari nanti.
“Kadangkala ada di antara penyakit yang tidak dapat dirawat dengan perubatan moden, namun dengan izin Allah dapat diubati dengan kaedah rawatan tradisional. Kita sedang ke arah perubatan berdasarkan pembuktian,” ujarnya.
Menurut Adzhar lagi, perubatan tradisional Melayu bukan sahaja boleh diketengahkan, tetapi juga diangkat dan dikomersialkan bagi memberi cerminan keaslian negara memandangkan sebelum ini tiada negara lain yang mempunyai seni perubatan tradisional Melayu.
“Justeru saya lihat ini boleh menjadi keunikan yang ada di negara kita dan ditambah pula dengan perubatan tradisional daripada kaum lain iaitu Cina dan India.
“Inilah keistimewaan orang Melayu, khazanah yang ada untuk generasi akan datang.
“Jika tidak dipelihara dan tidak didedahkan secara ilmiah dan akademik di peringkat universiti, ia mungkin akan hilang begitu sahaja memandangkan ilmu ini biasanya dituntut secara turun-temurun dan tidak formal,” terangnya sebelum menutup bicara.














