PETALING JAYA – Penduduk di beberapa kawasan di 10 negeri termasuk Sabah dan Sarawak diminta berwaspada susulan amaran ribut petir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sehingga pukul 5 petang ini.
Menurut MetMalaysia, amaran itu melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Di Kedah, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang membabitkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Bagi Perak, hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang dijangka melanda Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang serta Muallim. Di Kelantan pula melibatkan Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya hari ini.
Sementara itu, MetMalaysia melaporkan cuca buruk petang ini turut tertumpu sekitar Terengganu (Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan), Selangor (Hulu Selangor dan Gombak) serta Johor (Mersing).
“Sarawak pula, amaran melibatkan Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Limbang (Limbang). Di Sabah pula, kawasan yang dijangka terjejas ialah Pedalaman meliputi Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan selain Pantai Barat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














