PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa menemukan bangkai dua ekor cicak di dalam sebotol kicap yang dibelinya sebulan lalu ketika mahu menyediakan hidangan nasi ayam.
Menurut wanita itu, sebelum menyedari kewujudan bangkai haiwan berkenaan, dia sudah beberapa kali menggunakan kicap tersebut dan mengesan bau hanyir tetapi hanya mengabaikan.
“Sebelum ni memang guna dah sikit kicap ni memang ada bau hanyir sikit tapi aku telan je. Tadi nak buat nasik ayam, curah kicap ni smua dekat ayam. Kalau nak kata aku tutup tak rapat, kicap ni beli tak sampai sebulan.
“Guna pun baru Iagi, tak logik pula cicak sekering begitu dalam masa dua ke tiga minggu kan. Dia terendam, bukan jemur,” katanya di media sosial.
Perkongsian wanita itu sekali gus meraih perhatian orang ramai yang mendakwa pernah melalui pengalaman serupa sebelum ini dan menggesa pihak berkuasa menyiasat premis produk terbabit.
“Ni dah kali kedua jumpa orang buat hantaran ada cicak dalam kicap ni. Memang tak akan beli dah,” komen seorang pengguna.
“Dah lebih empat orang aku baca kes cicak dalam kicap ini,” kongsi seorang wanita.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna, tolong siasat jenama,” gesa pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














