SEREMBAN — Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akan berehat seketika bagi menyusun langkah seterusnya sebelum kembali menggerakkan usaha membantu parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, tempoh itu akan dimanfaatkan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di samping menilai peranan yang boleh dimainkan bagi memperkukuhkan parti.
“Saya akan berehat sekejap. Mungkin ini peluang untuk saya bersama anak dan cucu lebih sedikit. Selepas itu saya akan fikir apa yang perlu saya lakukan untuk parti pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media di command centre PH di Seremban malam ini.
Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri berkata sebaik tamat tempoh rehat itu, beliau akan kembali bekerja keras bagi membantu persiapan parti menjelang PRN Melaka.
“Insya-Allah selepas ini kita akan bekerja keras. Saya mahu membantu PRN Melaka bersama kepimpinan parti,” katanya.
Aminuddin merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut berkata beliau menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka dan reda serta percaya setiap ketentuan Allah SWT mempunyai hikmah. – KOSMO! ONLINE














