TONGGAK tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero, percaya Malaysia mampu tampil lebih ampuh dalam Piala ASEAN FIFA 2026 sekiranya pemain terbaik negara dapat dihimpunkan termasuk tonggak utama seperti Arif Aiman Hanapi dan Dion Cools.
Menurut Aguero, kejohanan yang berlangsung dalam kalendar antarabangsa FIFA pada September depan dijangka lebih mencabar selain pertembungan dengan Indonesia yang bakal menjadi tumpuan nanti.
Pemain naturalisasi dari Argentina itu berkata, kehadiran beberapa pemain bertaraf bintang yang mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa mampu memberikan dimensi berbeza kepada kekuatan Harimau Malaya.
“Piala ASEAN FIFA itu kumpulan yang menarik dan perlawanan menentang Indonesia sentiasa menjadi pertembungan sengit kerana kita tahu itu adalah aksi derbi serantau. Singapura pun ada pasukan yang baik sekarang.
“Mengenai peluang kelak, apabila skuad utama kembali seperti kehadiran Arif Aiman dan Dion Cools, kita ada barisan pemain yang sangat bagus untuk bersaing secara kompetitif,” katanya.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe masih bersaing dalam kempen Piala ASEAN 2026 anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ketika ini.
Namun, kejohanan bola sepak dwitahunan ini berlangsung di luar kalendar antarabangsa FIFA sekali gus menyaksikan pemain terbaik seperti Arif Aiman, Dion dan Safawi Rasid tidak dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.
Sementara itu, pemain berusia 32 tahun itu turut memberi bayangan akan kekal berkelana di luar negara selepas beraksi dengan kelab Liga Thailand, Kanchanaburi Poer pada musim lalu.
“Saya tidak boleh sahkan lagi pasukan mana tetapi bukan di sini (Liga Malaysia). Pengesahan rasmi akan dibuat selepas berakhirnya kempen Piala ASEAN nanti,” katanya.














