SEREMBAN – Menjadi tradisi sepasang kembar, Izzat Izwan Mohd. Noor dan Izzat Ismir Mohd. Noor untuk menunaikan kewajipan mengundi bersama setiap kali pilihan raya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kali ini, pasangan kembar seiras berusia 38 tahun itu yang merupakan anak jati Seremban mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini pada pukul 10.30 pagi tadi.
Izzat Izwan yang bekerja sebagai anggota bomba di Selangor berkata, dua hari sebelum pilihan raya biasanya dia akan berbincang dengan kembarnya untuk pergi mengundi bersama.
“Saya tinggal di Selangor dan pulang ke Seremban malam tadi supaya kami dapat pergi mengundi bersama-sama.
“Memang sejak kali pertama boleh mengundi, kami akan pergi bersama, walaupun kini sudah tinggal di Selangor tetapi kad pengenalan saya masih menggunakan alamat rumah keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini
Menurut Izzat Izwan, mereka juga tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan Pilihan Raya Negeri Ke-16 merupakan kali keempat kerana ia merupakan tanggungjawab kepada negara.
Sementara itu, abang kembarnya, Izzat Ismir pula merupakan kakitangan Pejabat Pos Malaysia dan tinggal di Seremban berharap sesiapa sahaja yang akan diberi mandat nanti dapat mentadbir dengan baik serta membawa manfaat kepada rakyat. – KOSMO! ONLINE














