fbpx
Antara selebriti tempatan yang menunjukkan perubahan ketara pada wajah.

Muka berubah, ‘filter’, ‘filler’ atau fakta?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RUPA paras dan dunia selebriti ibarat isi dengan kuku, setiap perubahan walau sekecil mana sekali pun, pasti mengundang perhatian. Hidung sedikit mancung, dagu semakin runcing atau kulit bertambah mulus, semuanya pantas menjadi bahan perbualan netizen.

Kini, wajah artis seolah-olah milik umum untuk dinilai. Ada memilih berdiam diri, menafikan, manakala sebahagian lagi tampil berani mengakui pernah menjalani rawatan estetik demi kepuasan atau tuntutan kerjaya.

Prosedur kecantikan juga bukan asing namun setiap keputusan hadir bersama risiko, kritikan dan persepsi masyarakat. Gala minggu ini menyorot selebriti tempatan yang pernah menjadi perhatian gara-gara isu perubahan wajah. 

  • Adira Suhaimi

Nama penyanyi Adira Suhaimi beberapa kali menjadi bualan apabila netizen mendakwa bentuk hidungnya kelihatan lebih mancung berbanding dahulu. 

Perubahan itu mencetus pelbagai spekulasi sehingga ada mengaitkannya dengan prosedur pembedahan kosmetik.

Bagaimanapun, Adira memilih untuk tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan tersebut selain berpendirian bahawa tidak semua perkara perlu dijelaskan kepada umum.

Pelantun lagu Sayang Orang Sama itu turut mengakui setiap wanita pasti memiliki rasa kurang yakin terhadap penampilan diri dan dia juga tidak terkecuali daripada berdepan perasaan itu, namun mempunyai cara tersendiri untuk mengatasinya.

Kendatipun begitu, wanita berusia 34 tahun itu menegaskan sebarang perubahan pada wajahnya tidak pernah dilakukan secara keterlaluan. 

Baginya, setiap individu perlu mengetahui batas agar kecantikan tidak bertukar menjadi sesuatu berlebihan.

  • Fatiya Latiff 

 Perubahan wajah pelakon Fatiya Latiff turut mencetus pelbagai reaksi. Berbeza dengan ramai selebriti lain, dia memilih untuk berterus terang mengenai rawatan estetik pernah dilakukan.

Bintang drama Ariana Rose itu mengakui pernah mengambil suntikan botoks pada wajah serta sekitar mata selain menambah filler pada bibir kerana kurang yakin dengan penampilan dan merasakan wajahnya semakin cengkung apabila usia meningkat.

Malangnya, keputusan tersebut mengundang penyesalan. Selepas kesan suntikan mula hilang, kedutan menjadi lebih ketara, lingkaran bawah mata muncul semula, manakala otot wajah dirasakan semakin kendur.

Kini, Fatiya 38, beralih kepada rawatan yang lebih selamat.  Dia turut menasihatkan wanita supaya berfikir panjang sebelum mengubah wajah kerana proses penuaan semula jadi jauh lebih baik daripada menanggung risiko.

  • Zarina Anjoulie

Pelakon Zarina Anjoulie pula memilih untuk bersikap terbuka mengenai pengalaman menjalani pembedahan hidung atau rhinoplasty, namun kisah tersebut akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri.

Pada September 2024, dia menjalani prosedur membuang benjolan pada batang hidung serta mencantikkan rahang di Vietnam menerusi tajaan sebuah klinik kecantikan bernilai sekitar RM13,000. Beberapa bulan kemudian, hidungnya mengalami jangkitan serius sehingga membengkak, bernanah serta menyebabkan demam berpanjangan.  Lebih mengejutkan, wanita yang mesra disapa Anju itu mendakwa klinik terbabit menggunakan semula silikon milik pesakit lain sebelum memasukkannya ke dalam hidungnya. Anju benar-benar menyesal dengan tindakannya.

  • Hael Husaini

Penyanyi dan komposer Hael Husaini tidak pernah terlepas daripada dakwaan menjalani pembedahan plastik. Perubahan ketara pada wajah, terutama kulit lebih cerah serta garisan rahang tajam, sering dibandingkan dengan imej artis K-pop.

Pelantun lagu Jampi itu bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut sekali gus menegaskan segala perubahan itu lahir daripada peningkatan usia, disiplin menjaga penampilan dan gaya hidup lebih sihat.

Sebagai penghibur, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-32  (AJL32) itu berpendapat imej kemas serta profesional menjadi sebahagian daripada tuntutan kerjaya, terutama apabila menghadiri acara fesyen antarabangsa.

Hael turut mengakui penampilannya banyak dibantu jurusolek, teknik solekan serta pengurusan profesional. 

Baginya, penjagaan diri tidak seharusnya disalah tafsir sebagai pembedahan kosmetik.

  • Daiyan Trisha

Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha pernah menjadi sasaran kritikan apabila ramai mendakwa bentuk hidung serta bibirnya kelihatan jauh berbeza berbanding awal kemunculan dalam industri.

Pelbagai tuduhan timbul, termasuk dakwaan menjalani pembedahan hidung dan suntikan filler. 

Wajah lama serta baharu sering dibandingkan netizen sehingga menjadi perdebatan dalam media sosial.

Pelantun lagu Penat itu menolak semua dakwaan tersebut dan menegaskan rupa paras dimiliki merupakan anugerah semula jadi dan tidak pernah menjalani pembedahan kosmetik.

Menurutnya, perubahan pada gambar hanya disebabkan penggunaan penapis aplikasi swafoto serta teknik solekan selain berpendapat penampilan fizikal merupakan hak peribadi dan tidak sepatutnya dijadikan bahan penghakiman masyarakat.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN