ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangunan rumah mampu milik di negeri ini berjalan perlahan, sebaliknya menegaskan sasaran pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030 berada di landasan yang betul.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi kekal komited merealisasikan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
Menurutnya, sejak 2022 hingga suku pertama tahun ini, sebanyak 12,412 unit RMMJ telah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik.
Katanya, lebih 8,000 lagi unit dijangka siap menjelang penghujung tahun ini sekali gus membuktikan projek perumahan rakyat terus dipacu mengikut perancangan.
“Antara projek terbesar yang sedang dilaksanakan ialah Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIPBJ) yang menawarkan lebih 2,000 unit rumah.
“Projek ini menyediakan tiga kategori harga iaitu RM150,000, RM250,000 dan RM300,000 bagi memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pembeli,” katanya selepas meninjau tapak pembinaan PIPBJ di sini hari ini.
Mohd. Jafni berkata, projek berkenaan yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membuktikan kerajaan negeri masih mampu menawarkan rumah berharga subsidi, termasuk rumah bertanah pada harga RM150,000.
Menurut beliau, pembangunan itu juga selari dengan usaha menjadikan Johor sebagai negeri maju tanpa mengabaikan keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman.
Mengulas kenyataan Anwar sebelum ini, Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima pandangan, namun fakta sebenar menunjukkan pembangunan RMMJ berjalan secara berterusan.
Pada 5 Julai lalu, Perdana Menteri dilaporkan menegur kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) kerana didakwa perlahan dalam membangunkan rumah mampu milik khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sehubungan itu, Mohd. Jafni berkata, pihaknya telah menjemput Perdana Menteri untuk melawat sendiri projek-projek RMMJ yang sedang dibangunkan di seluruh Johor.
“Saya berharap Perdana Menteri dapat melihat sendiri perkembangan projek ini supaya mendapat gambaran sebenar mengenai usaha kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, majoriti pembeli RMMJ terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang mahu memiliki rumah pertama.
Tambahnya, syarat utama pembelian ialah pemohon perlu menjadi pengundi di Johor bagi memastikan manfaat dasar dan inisiatif kerajaan negeri dapat dinikmati rakyat yang menetap serta menyumbang kepada pembangunan negeri. – KOSMO! ONLINE














