PARIS – Anggota bomba di Perancis dan Sepanyol bergelut untuk emadamkan kebakaran hutan berskala besar yang terus merebak semalam.
Pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan amaran berhubung gelombang haba baharu yang dijangka melanda kawasan pengeluaran anggur terkemuka di sekitar bandar Bordeaux, Perancis.
Setakat ini, lebih 325,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, terutamanya di wilayah Gironde, barat daya Perancis.
Kebakaran di barat daya Perancis dan tengah Sepanyol berhampiran Madrid itu disifatkan antara bencana kebakaran hutan terburuk dalam sejarah kedua-dua negara.
Menurut Persekutuan Bomba Kebangsaan Perancis (FNSPF), kebakaran di negara itu mencetuskan fenomena pirokumulonimbus atau pembentukan awan berapi gergasi yang menghasilkan angin sendiri serta kilat serta membawa api ke kawasan baharu.
“Ini adalah senario ‘pertempuran’ yang amat sukar ibarat David menentang Goliath, namun kami akan terus berusaha mencari titik lemah untuk mengawal keadaan,” kata jurucakap FNSPF, Eric Brocardi.
Ekoran situasi yang semakin meruncing, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengadakan mesyuarat kabinet bagi membincangkan langkah darurat semalam.
Di Sepanyol, Perdana Menteri Pedro Sanchez dijadualkan melawat kawasan terjejas di Valencia, di mana 15,000 penduduk telah dipindahkan berikutan kemunculan titik kebakaran baharu.
Semasa melawat zon kebakaran di wilayah Avila kelmarin, Sanchez memberi amaran bahawa ‘masa-masa yang amat sukar menanti’.
Ketua Perlindungan Awam Sepanyol, Virginia Barcones pula menggambarkan bencana di sekitar Avila sebagai ‘raksasa (api)’ dan negara sedang berjuang melawannya.
“Pihak kami sedang menangani perimeter kebakaran sepanjang 280 kilometer yang telah memusnahkan kawasan seluas 77,000 hektar,” katanya kepada penyiar rasmi TVE.
Saintis-saintis berkata, fenomena perubahan iklim mengakibatkan kejadian cuaca ekstrem seperti kebakaran hutan menjadi lebih kerap dan ekstrem.
Berlaku di kemuncak cuti musim panas, kebakaran raksasa itu didorong oleh kawasan hutan yang kering kontang akibat gelombang haba berturut-turut dan kekurangan hujan sejak Mei lalu.
Di Perancis, penguasa wilayah bagi kawasan barat daya Gironde tempat di mana kebakaran hutan tertumpu, menggesa pelancong supaya menjauhi kawasan tersebut dan mencari destinasi lain.
“Arah angin kerap berubah, nampaknya kebakaran yang menentukan keadaan. Kami hanya perlu mengikutinya,” kata seorang anggota bomba.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez memberi amaran bahawa ‘keadaan kekal sangat tidak menyebelahi kami’ di Perancis, di mana lebih 250,000 orang dipindahkan.
Namun, pihak berkuasa Gironde berkata awal semalam bahawa kebakaran itu secara keseluruhannya ‘tidak berubah’.
Ahli-ahli metereologi memberi amaran bahawa satu lagi gelombang haba boleh melanda Perancis bermula hari ini, dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius di sesetengah kawasan.
Sekurang-kurangnya 240 kediaman telah musnah di Gironde yang menempatkan bandar Bordeaux.
Namun, Datuk Bandar Bordeaux, Thomas Cazenave berkata, tiada rancangan untuk mengosongkan bandar itu, yang menjadi tempat tinggal kira-kira 850,000 orang dan tempat berlindung ribuan penduduk yang terpaksa berpindah.
Kebakaran itu juga telah memusnahkan 42,000 hektar kawasan di Gironde .
Kementerian Pertahanan Perancis berkata, pihaknya telah mengambil langkah khas untuk melindungi tapak industri di sekitar Bordeaux, hab penting bagi industri aeroangkasa negara itu.
Lebuh raya utama di selatan Bordeaux dan perkhidmatan kereta api turut terputus.
Kira-kira 2,500 anggota bomba, 1,500 askar dan kira-kira 1,200 anggota polis telah dikerahkan ke wilayah Gironde.
Dalam pada itu di Sepanyol pula, Raja Felipe VI semasa melawat pusat perlindungan kecemasan Villamantadi di pinggir Madrid berkata, kebakaran hutan tersebut menyebabkan kerosakan yang ‘tidak terhitung’ kepada warisan semula jadi negara.
Kira-kira 75,000 penduduk telah dipindahkan dari wilayah Madrid, Avila, Toledo dan dari wilayah timur Castellon di Valencia.
“Kami semua sangat takut,” kata Azucena Paguada, salah seorang penduduk yang dipindahkan ke sebuah gimnasium yang dijadikan pusat perlindungan sementara di Villamanta.
Seorang lagi mangsa pemindahan, Margarita, 70, menunjukkan kesan kotoran pada baju T yang dipakainya selama empat hari.
“Monarki datang untuk menyapa, dan saya memakai pakaian kotor ini,” keluhnya.
Pihak berkuasa berkata, tiupan angin menolak kebakaran hutan dekat Madrid ke arah selatan, menjauhi ibu negara buat masa ini, tetapi memaksa lebih banyak penduduk kampung di laluannya berpindah. – AFP














