fbpx
ANIQ menamatkan penantian kontinjen negara apabila menyumbang pingat emas pertama pada Sukan Komanwel Glasgow 2026. - FB MSN

Perdana Menteri bangga pencapaian Aniq Kasdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Prestasi jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dia menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook sebentar tadi, Anwar mengucapkan tahniah atas kejayaan dilakar atlet berusia 24 tahun itu yang berjaya mengharumkan nama negara.

Beliau juga menyifatkan kejayaan Aniq menyumbang pingat emas pertama negara mampu menjadi pembakar semangat buat barisan atlet Malaysia yang sedang menggalas misi penting pada temasya sukan tersebut.

“Tahniah Mohamad Aniq atas kejayaan menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia di Glasgow! Seluruh negara berbangga dengan kejayaan saudara mengharumkan nama Malaysia.

“Semoga detik bermakna ini membakar semangat atlet kita di Sukan Komanwel untuk terus memburu kejayaan dan membawa pulang lebih banyak pingat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi perjuangan kalian,” tulisnya.

Pada aksi final kategori 60 kilogram (kg) lelaki hari ini, Aniq melakar sejarah tersendiri apabila mencipta dua rekod temasya, iaitu angkatan keseluruhan 273kg dan 152kg bagi acara clean & jerk selain mengangkat bebanan 121kg dalam acara snatch.

Pingat perak bagi kategori itu dimenangi atlet India, Rishikanta Singh yang melakukan angkatan keseluruhan 264kg manakala gangsa menjadi milik Joshua Amunga Mboya (260kg) dari Kenya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN