CHICAGO – Penyerang veteran Poland, Robert Lewandowski mengakui masih perlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas gagal menjaringkan gol pada debut pertama bersama kelab Liga Amerika Syarikat (MLS), Chicago Fire semalam.
Lewandowski yang menyertai Fire secara percuma daripada Barcelona beraksi selama 62 minit pada penampilan sulung yang menyaksikan pasukannya tewas 2-3 kepada Inter Miami.
Penyerang berusia 37 tahun mengakui prestasinya akan meningkat apabila semakin memahami pergerakan dan corak permainan rakan-rakan sepasukan.
“Sebelum perlawanan saya tahu saya hanya mampu bermain sekitar 60 minit. Tempoh seminggu bukanlah masa yang cukup untuk saya benar-benar bersedia.
“Saya sudah cuba memberikan yang terbaik di atas padang. Namun, saya yakin aksi pada perlawanan seterusnya akan menjadi lebih bagus kerana saya semakin memahami cara permainan pasukan.
“Dalam bola sepak, bukan mudah untuk kita lakukan segala-galanya pada perlawanan pertama. Saya perlu terus bekerja keras ambil sedikit masa untuk serasi,” katanya.
Sementara itu, pengendali Chicago Fire, Gregg Berhalter turut meminta penyokong bersabar kerana Lewandowski masih dalam proses mendapatkan tahap kecergasan terbaik. – AGENSI














