SERDANG – Operasi memadam kebakaran yang memusnahkan beberapa premis di kawasan Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan di sini memasuki fasa akhir apabila api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.20 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pasukan bomba kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemeriksaan dan pembersihan di lokasi bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran berulang.
Menurutnya, sebuah jengkaut akan digunakan bagi mengalihkan sisa runtuhan untuk memastikan tiada mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah timbunan struktur yang musnah.
“Kerja-kerja overhaul sedang dijalankan dan bantuan jengkaut sedang ditunggu bagi membongkar runtuhan.
“Pada masa sama, pegawai forensik bomba telah tiba di lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, operasi pemadaman berdepan cabaran besar apabila anggota bomba terpaksa berdepan risiko letupan susulan terdapat kira-kira 2,000 tin gas metana disimpan di dalam premis yang terbakar.
Beberapa letupan dilaporkan berlaku pada peringkat awal kejadian, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal situasi daripada menjadi lebih buruk.
Dalam kejadian itu, kebakaran memusnahkan sebuah premis menjual barangan logam sebelum api merebak ke beberapa premis berhampiran.
Bagaimanapun, api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan utama Pasar Borong Selangor. Siasatan lanjut mengenai punca kebakaran masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE














