fbpx
Gambar Hiasan

Dadah bernilai RM180,000 dalam Toyota Alphard, tiga dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah dengan menahan tiga individu tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM180,000 dalam satu serbuan di Sungai Bakau, Nibong Tebal, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, dalam operasi yang dijalankan anggota Balai Polis Sungai Acheh itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 34 hingga 63 tahun ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard membawa kepada penemuan dadah disyaki Eramin 5 seberat 1,700 gram, serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 450 gram, ketamin (8 gram) dan heroin (1 gram).

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM180,000.

“Ketiga-tiga suspek turut didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif amphetamine serta methamphetamine,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN