REMBAU – Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO menafikan dakwaan kononnya manifesto gabungan itu yang bakal dilancarkan malam esok menciplak atau mengambil idea daripada manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dakwaan yang sedang tular itu tidak benar dan disifatkan sebagai perang psikologi pihak tertentu terhadap BN.
“Manifesto BN dijangka dilancarkan malam esok. Apa yang banyak diviralkan dengan mengatakan kita menciplak atau mengambil manifesto Sabah itu tidak betul.
“Kita tidak pernah berbuat begitu. Itu cuma perang psikologi mereka dengan mengatakan kita menciplak manifesto PRN Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program santai bersama beliau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pedas Tengah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong di sini hari ini.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, manifesto berkenaan sebenarnya dirangka bagi menyambung semula agenda dan perancangan BN yang tergendala selepas gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Menurutnya, asas kepada segala perancangan tersebut sudah tersedia dan hanya perlu diperkemas mengikut keperluan semasa.
“Manifesto ini akan menyambung kerja kita yang tergendala selepas kerajaan BN tewas pada 2018. Asasnya sudah ada, kita cuma mahu memperkemas dan menyambung semula apa yang telah tergendala selepas kekalahan itu,” katanya.- KOSMO! ONLINE














