fbpx
Gambar hiasan.

191,126 pelajar, 10,520 pelatih terlibat PLKN 3.0 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada tahun depan diunjurkan melibatkan 191,126 pelajar dan 10,520 pelatih di sembilan lokasi kem, sekali gus melebihi sasaran 100,000 peserta.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pemilihan peserta dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu sistem balloting dan penyertaan secara sukarela.

“Selain itu, kapasiti pengambilan di kem latihan pula tidak termasuk kapasiti tambahan melalui penggunaan kem alternatif seperti Kem MALBATT Village dan Pusat Latihan RELA.

“Bilangan pelatih dijangka akan terus meningkat secara berperingkat selaras dengan ketersediaan dan kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar dan infrastruktur,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berhubung rancangan dan langkah penyelarasan bagi pelaksanaan PLKN 3.0 di IPT serta unjuran untuk memastikan program itu meliputi semua kategori IPT, awam dan swasta.

Adly berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 di IPT dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama erat antara Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pelaksanaannya seragam serta mencapai objektif yang ditetapkan.

Katanya, kedua-dua kementerian telah memuktamadkan pemetaan modul merangkumi 30 peratus Modul Kenegaraan, 30 peratus Modul Kepimpinan dan 40 peratus Modul Ketenteraan.

Beliau berkata, kursus Training of Trainers turut dilaksanakan bersama JLKN, KPT dan Akademi Kenegaraan Malaysia bagi memastikan pensyarah dan fasilitator mempunyai kefahaman, kemahiran serta piawaian penyampaian yang seragam.

“Sebagai langkah pelaksanaan PLKN 3.0 di institusi pengajian tinggi, kerajaan telah memulakan Program Rintis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 16 Jun melibatkan 996 pelajar.

“Program rintis ini turut dilaksanakan di tiga politeknik iaitu Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Politeknik Banting dan Politeknik Seberang Perai melibatkan 4,000 pelajar.

“Ia akan diperluaskan ke tiga kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai Ogos 2026 melibatkan 1184 pelajar,” katanya.

Adly berkata, pelaksanaan program rintis memperoleh maklum balas positif, khususnya berkaitan modul kenegaraan, patriotisme, kepimpinan serta pembentukan sahsiah.

“Sebelum diperluaskan ke IPT swasta, kerajaan perlu menilai keberkesanan modul, pencapaian objektif, maklum balas peserta dan institusi, kesiapsiagaan prasarana serta tenaga pengajar dan keupayaan pelaksanaan secara mampan.

“Buat masa ini, keutamaan diberikan kepada institusi pendidikan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN