PASIR MAS – Kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) negara mencapai hampir 32 peratus sehingga bulan lalu sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai sasaran 35 peratus menjelang 2030.
Tenaga boleh baharu terdiri daripada solar, tenaga hidro, tenaga angin, biojisim dan sistem penyimpanan tenaga bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu menunjukkan kemajuan berterusan negara dalam melaksanakan agenda peralihan tenaga menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Katanya, negara telah mencapai 31 peratus kapasiti terpasang TBB sehingga Disember 2025 sekali gua mencapai sasaran kerajaan.
“Kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan kapasiti itu kepada 35 peratus pada 2030 dan 70 peratus menjelang 2050. Melalui NETR, kerajaan telah menggariskan hala tuju yang jelas bagi mentransformasikan sektor tenaga negara.
“Peralihan tenaga bukan satu pilihan, tetapi keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Kampung Serongga di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memberitahu, kerajaan akan terus komited memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang berasaskan prinsip keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian.
Menurutnya, ia merupakan salah satu aspek untuk memperkukuh akses kepada bekalan elektrik hijau yang berdaya saing bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
“LSS5 di Pasir Mas merupakan manifestasi keyakinan pelabur terhadap dasar tenaga negara serta membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta dalam memacu ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya saing.
“Projek itu turut dijangka menyumbang kepada bekalan elektrik negara, mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, meningkatkan pembangunan industri sokongan serta memberi limpahan manfaat kepada komuniti di Pasir Mas dan Kelantan secara keseluruhannya,” ujarnya.
Beliau berkata, Kelantan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi kapasiti TBB khususnya tenaga solar bagi penjanaan elektrik, didorong keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri dan penyertaan aktif sektor swasta.
Tambahnya, rakyat termasuk pemilik rumah, masjid, rumah ibadat dan premis komersial di Kelantan digalakkan untuk memanfaatkan Program Solar yang disediakan Petra bagi memperluaskan penggunaan sistem solar bumbung.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata,
LSS5 yang dilancarkan di Kampung Serongga di sini dijangka menjadi penanda aras pembangunan TBB di Kelantan sekali gus menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak pelaburan berkualiti pada masa hadapan.
“Kejayaan projek itu akan memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelaburan berasaskan kelestarian, inovasi dan teknologi hijau.
“Insya-Allah, kejayaan LSS5 ini akan menjadi penanda aras kepada pembangunan tenaga boleh baharu di negeri ini seterusnya menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak pelaburan berkualiti pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
habis














