Ramai rakan penulis yang sudah mencecah lebih 55 tahun sudah mula membuat persediaan untuk menghadapi fasa awal bersara dengan cara yang sihat tetapi lebih penting ke arah memanfaatkan financial freedom.
Ada yang sudah merancang untuk tinggal di pondok belajar agama, mengembara ke luar negara mengikut pakej mesra warga emas dan ada juga yang balik ke kampung kerana sudah menyiapkan rumah dengan persekitaran hijau yang damai.
Itu adalah perancangan bersara untuk golongan T20 yang memiliki pelbagai portfolio simpanan sejak muda lagi tetapi bagaimana pula dengan golongan yang tidak membuat persiapan awal, hanya mengharapkan duit tabungan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, namun lebih tragis apabila duit simpanan dalam KWSP juga cepat habis.
Bersandarkan maklumat terkini daripada KWSP, majoriti pencarum telah menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh kurang lima tahun sahaja.
Ada sebab kenapa ada kumpulan yang terpaksa bekerja semula kerana desakan hidup untuk membiayai perbelanjaan keluarga, masih ada hutang
yang belum dilangsaikan. Bagaimanapun ada juga kumpulan pesara yang suka kembali ke dalam dunia pekerjaan kerana faktor kesihatan.
Mereka ini terdiri daripada syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang penulis temui sebelum ini, menyatakan hasrat mereka untuk terus bekerja meskipun usia sudah melebihi 60 tahun atas alasan mereka akan jatuh sakit bila tidak tahu apa yang boleh dibuat jika terlalu banyak masa dan berihat di rumah.
Bagi mereka yang terpaksa kembali bekerja selepas tabung KWSP habis, ada banyak idea yang boleh diambil kira bersesuaian dengan minat masing-masing.
Pastinya, ledakan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadi penghalang kepada warga emas untuk menawarkan khidmat kerja tetapi ada juga bidang bersesuaian untuk mereka yang suka berkhidmat dalam bidang pendidikan dengan memilih kerjaya sebagai tutor secara separuh masa.
Plihan menjadi konsultan dan perunding bebas dalam bidang yang diceburi sebelum ini juga boleh dipertimbangkan kerana individu ini berpengalaman luas sehingga boleh membantu mana-mana golongan muda mencapai KPI.
Bagi yang meminati bidang peruncitan, mereka boleh menabur khidmat bakti sebagai rakan jualan atau menjadi pempengaruh dalam bidang yang diminatinya.
Semua ini tidak memerlukan set resume yang lengkap untuk menawarkan diri masing-masing dengan menerima tawaran gaji yang lumayan tetapi ia lebih kepada mengisi masa terluang agar sentiasa sihat dan ceria.
Jangan pandang serong dan bersikap negatif terhadap pesara yang masih mahu menabur bakti dalam dunia pekerjaan kerana ia bergantung kepada nasib, minat, tahap kesihatan dan kesediaan mereka.
Jadi sokonglah mereka bagi mengisi sisa usia yang ada, kerana limu dan pengalaman mereka yang terlalu berharga itu dapat dikongsi bersama serta dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh golongan muda dan generasi akan datang.














