SUBANG JAYA – Sindiket perjudian dalam talian yang disyaki berselindung di sebalik beberapa syarikat berkaitan komputer dipercayai mampu memperoleh pusingan kredit pertaruhan mencecah RM27 juta sehari sempena Piala Dunia 2026.
Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar apabila diserbu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam Ops Soga XI melibatkan 19 premis sekitar Lembah Klang, 16 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, keseluruhan yang ditahan membabitkan 106 lelaki dan 55 wanita termasuk enam warga asing berusia antara 19 hingga 62 tahun.
Menurutnya, tangkapan turut membabitkan lima lelaki tempatan yang dipercayai pengarah dan pemilik saham syarikat terbabit.
“Kita percaya mereka bukan tertumpu pada Piala Dunia sahaja. Perjudian yang lain pun mereka lakukan. Hasil siasatan, secara purata kredit pertaruhan boleh mencecah sehingga RM27 juta sehari.
“Kita turut merampas 182 unit komputer, 137 komputer riba dan 152 telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan serta mempromosikan aktiviti pertaruhan perjudian dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.
Kumar berkata, operasi itu dijalankan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kuala Lumpur, JSJ Selangor dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan membangunkan aplikasi perjudian sendiri sebelum mempromosikannya kepada pelanggan bagi membolehkan pertaruhan dibuat membabitkan perlawanan bola sepak serta pelbagai bentuk perjudian lain.
“Walaupun aplikasi itu digunakan pelanggan dari dalam dan luar negara, keseluruhan operasi pertaruhan dikawal oleh sindiket yang berpangkalan di Malaysia.
“Siasatan juga mendapati syarikat yang berdaftar di bawah nama berbeza dipercayai dikendalikan oleh satu sindiket sama dan tidak hanya memfokuskan pertaruhan bola sepak, malah menawarkan pelbagai bentuk perjudian lain,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor mengikut Seksyen 4C dan Seksyen 4E Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4G Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, sepanjang Ops Soga yang dilaksanakan dari 11 Jun hingga 20 Julai lalu, polis menyerbu 649 premis dan menahan 945 individu terdiri daripada 835 lelaki serta 110 wanita.
“Sepanjang operasi itu, kita turut merampas wang tunai hampir RM200,000 selain mengesan nilai pertaruhan berjumlah RM35.15 juta.
“Bersama MCMC, kita turut mengesan 637 laman sesawang yang mempromosikan kegiatan perjudian. Sebahagiannya telah disekat manakala selebihnya sedang menjalani tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














