KUALA LUMPUR – Terdesak untuk melunaskan hutang selain terpukau dengan tawaran komisen sehingga 30 peratus daripada hasil kutipan menyebabkan ada wanita sanggup menjadi orang upahan kepada sindiket along tanpa menyedari risiko yang bakal dihadapi.
Lebih membimbangkan apabila sebahagian daripada wanita tersebut merupakan bekas mangsa ceti haram yang gagal melangsaikan hutang mereka.
Ketua Unit Banteras Along Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa berkata, sindiket menggunakan modus operandi licik iaitu dengan menawarkan komisen tinggi kepada wanita muda bagi memudahkan urusan mereka mengutip hutang.
Dedahnya, sasaran utama ialah wanita berusia 20 hingga 30-an yang menganggur dan berdepan masalah kewangan.
Adam menambah, sindiket tidak mengiklankan jawatan kosong secara terbuka, sebaliknya mengenal pasti individu yang mudah dipengaruhi termasuk dalam kalangan bekas mangsa along.
“Mereka akan tawarkan komisen yang sangat lumayan. Ramai yang bersetuju kerana menyangka boleh memperoleh wang dengan cepat.
“Kalau berjaya kutip RM100,000, komisen boleh mencecah RM30,000. Itu yang membuatkan ramai gelap mata,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Adam berkata, tiada gaji asas diberikan kerana pendapatan ejen bergantung sepenuhnya kepada jumlah kutipan yang berjaya dibuat.
Katanya, walaupun jumlah komisen kelihatan besar, kebanyakan ejen akhirnya terus dibelenggu hutang kerana ketua sindiket akan memotong sebahagian pendapatan yang diperoleh atas pelbagai alasan.
“Nampak macam mereka dapat banyak, tetapi bos akan ambil semula kononnya untuk melangsaikan hutang atau kos operasi.
“Akhirnya mereka terus bekerja kerana percaya hutang masih belum habis,” katanya.
Adam berkata, sindiket turut mengamalkan struktur operasi berlapis menyebabkan kebanyakan ejen wanita tidak pernah mengenali dalang sebenar.
“Mereka hanya kenal penyelia masing-masing. Setiap peringkat ambil komisen sendiri sebelum bakinya disalurkan ke atas.
“Sebab itu kalau ditangkap, ejen di bawah pun tidak tahu siapa ketua sebenar,” katanya.
Selain menjadi ejen telefon, beliau mendakwa terdapat wanita yang turut menguruskan akaun bank keldai, aplikasi pinjaman serta akaun media sosial bagi menarik pelanggan baharu.
Dakwanya, terdapat juga wanita yang dihantar ke rumah mangsa untuk menemani kumpulan pengutip hutang ketika operasi intimidasi dijalankan.
“Ramai sangka wanita hanya duduk di pejabat, tetapi ada juga yang turun ke lokasi sebagai sebahagian daripada operasi sindiket,” katanya.
Adam turut mendedahkan terdapat rakyat Malaysia yang dibawa bekerja di pusat operasi sindiket along di Kemboja, Vietnam dan Thailand dengan dijanjikan pendapatan lumayan.
Bagaimanapun katanya, mereka yang gagal mencapai sasaran kutipan berdepan pelbagai tekanan termasuk dikurung, dipukul dan dibebankan dengan hutang baharu.
“Mereka masuk kerana mahu mencari rezeki, tetapi akhirnya menjadi tawanan sindiket. Mereka bukan sahaja dieksploitasi, malah sukar keluar kerana hutang sengaja ditambah dari semasa ke semasa.
“Itulah perangkap sebenar sindiket along. Mereka bukan sekadar memerangkap peminjam, tetapi juga orang yang bekerja untuk mereka,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, sindiket ceti haram atau along sentiasa mengubah strategi dalam mencari pelanggan dan yang terbaharu ialah menggunakan wanita muda untuk memikat mangsa membuat pinjaman wang.
Wajah-wajah wanita muda berusia dalam lingkungan 20 hingga awal 30an itu bukan sahaja diletakkan pada poster iklan untuk memancing pelanggan, malah mereka diupah sebagai peneman bagi mendekati individu sasaran sebelum menawarkan pinjaman.
Adam yang mendedahkan perkara itu berkata, pendekatan tersebut menunjukkan sindiket kini beralih kepada pendekatan psikologi berbanding keganasan fizikal.
“Individu pertama yang bercakap dengan mangsa selalunya adalah wanita. Mereka pandai ‘mengayat’ atau menyusun kata kata manis sehingga membuat kan mangsa percaya bahawa pinjaman tersebut adalah selamat,” katanya.














