SETIAP kali perlawanan akhir Piala Dunia berlangsung, satu fenomena yang menarik akan berulang. restoran mamak dipenuhi penyokong yang memakai jersi pelbagai negara.
Media sosial turut dibanjiri dengan perdebatan tentang pasukan pilihan. Ada yang bersorak penuh semangat apabila pasukan kegemarannya menjaringkan gol, manakala ada yang termenung apabila impian pasukan itu berkecai.
Apa yang lebih menarik, sebahagian besar daripada mereka bukanlah rakyat negara yang sedang beraksi di atas padang. Mereka tidak lahir di negara tersebut, tidak pernah menetap di sana, malah ada yang tidakpernah menjejakkan kaki ke negara yang disokong.
Namun, apabila wisel penamat dibunyikan, mereka turut merasai kegembiraan atau kekecewaan seolah-olah kemenangan dan kekalahan itu milik mereka sendiri.
Persoalannya, mengapa rakyat Malaysia begitu mudah jatuh hati kepada pasukan negara lain?
Jawapannya lebih besar daripada sekadar minat terhadap sukan. Bola sepak ialah bahasa sejagat yang menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, agama atau sempadan negara.
Apabila seseorang memilih sesebuah pasukan, dia sebenarnya sedang memilih nilai yang diwakili oleh pasukan tersebut. Ada yang mengagumi disiplin permainan mereka. Ada yang tertarik dengan semangat juang yang tidak mudah mengalah. Ada yang menyukai corak permainan yang pantas dan kreatif.
Tanpa disedari, kita bukan sekadar menyokong sebuah pasukan, tetapi turut mengaitkan diri dengan identiti dan falsafah yang dibawa oleh pasukan tersebut.
Fenomena ini dikenali dalam psikologi sosial sebagai social identity (identiti sosial), iaitu kecenderungan manusia untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu kumpulan yang memberi rasa bangga, kekitaan dan identiti.

Fenomena Piala Dunia
Walaupun Malaysia belum pernah beraksi di pentas Piala Dunia, kehangatan kejohanan itu tetap dirasai setiap empat tahun. Kedai makan dibuka hingga lewat malam, perbualan di pejabat berkisar tentang taktikal permainan, manakala media sosial dipenuhi ramalan dan ulasan.
Ini menunjukkan bahawa sukan bukan sekadar hiburan. Ia telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat. Malah, sokongan kepada pasukan luar juga menggambarkan bagaimana globalisasi telah mengubah cara manusia membina identiti.
Hari ini, seseorang di Johor Bahru boleh membesar dengan mengagumi falsafah permainan sebuah negara di Eropah, mengikuti liga di Amerika Selatan dan berkongsi kegembiraan bersama jutaan penyokong lain di seluruh dunia.
Teknologi telah menghapuskan jarak. Emosi pula menghapuskan sempadan. Ramai melihat kejayaan sesebuah pasukan pada malam final. Namun hakikatnya, trofi hanyalah penghujung kepada satu perjalanan yang sangat panjang.
Di sebalik setiap pasukan yang berjaya, wujud sistem pembangunan yang tersusun. Bakat dikenal pasti sejak usia muda, jurulatih diberi ruang untuk membangunkan pemain, akademi menjadi tempat mencorakkan kemahiran, manakala budaya kerja yang konsisten diterapkan selama bertahun-tahun.
Kemenangan bukan lahir secara kebetulan. Ia dibina melalui perancangan, pelaburan dan kesabaran. Inilah aspek yang sering tidak kelihatan apabila kita hanya menonton 90 minit di atas padang.
Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita juga menyimpan impian untuk melihat Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.
Namun impian itu tidak akan menjadi kenyataan hanya dengan semangat ketika musim kejohanan berlangsung. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita membina ekosistem bola sepak negara secara menyeluruh.
Pembangunan akar umbi perlu diperkukuh. Kemudahan latihan perlu terus dipertingkatkan. Jurulatih perlu diberi ruang untuk berkembang.
Bakat muda perlu dikenal pasti lebih awal dan dibimbing secara berterusan. Lebih penting daripada semua itu ialah membina satu budaya yang menghargai proses, bukan sekadar keputusan.
Negara-negara yang menjadi kuasa besar bola sepak hari ini tidak muncul dalam sekelip mata. Mereka membina sistem yang mampu melahirkan generasi demi generasi pemain berkualiti.
Fenomena rakyat Malaysia menyokong pelbagai negara di Piala Dunia sebenarnya bukan sesuatu yang negatif. Sebaliknya, ia membuktikan bahawa masyarakat kita mencintai bola sepak dan menghargai permainan yang berkualiti.
Impian Malaysia
Namun, cinta terhadap bola sepak seharusnya tidak berhenti sebagai seorang penonton. Ia perlu diterjemahkan kepada sokongan terhadap pembangunan bola sepak tempatan, kehadiran ke stadium, penghargaan kepada pemain tempatan dan keyakinan bahawa Malaysia juga mampu melangkah lebih jauh.
Setiap negara yang hari ini menjadi kebanggaan penyokong dunia pernah bermula dengan impian yang sama. Bezanya, mereka memilih untuk membina impian itu secara konsisten.
Apabila perlawanan final Piala Dunia berakhir, dunia akan mengingati siapa yang menjulang trofi. Namun bagi Malaysia, mungkin persoalan yang lebih penting bukanlah siapa yang menang.
Sebaliknya, apakah yang boleh kita pelajari daripada perjalanan mereka sehingga mampu berada di pentas tertinggi dunia. Selagi kita hanya menjadi penyokong kepada impian negara lain, kita akan terus menjadi penonton di pentas dunia.
Tetapi apabila kita mula membina impian kita sendiri, bermula daripada padang sekolah, akademi akar umbi, budaya profesional dan sistem pembangunan yang mampan, tidak mustahil suatu hari nanti, rakyat Malaysia tidak lagi perlu memilih negara lain untuk disokong.
Sebaliknya, seluruh dunia pula akan menyaksikan Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia. Dan pada hari itu, sorakan yang bergema bukan lagi untuk negara orang, tetapi untuk negara kita sendiri.
Dr. Zurina Samsudin merupakan Pensyarah Kanan Johor Business School Universiti Tun Hussein Onn Malaysia














