SHAH ALAM – Taktik empat sindiket pusat panggilan penipuan menjadikan kediaman mewah antaranya banglo tiga tingkat sejak dua bulan lalu tumpas dalam serbuan berasingan, baru-baru ini.
Serbuan antara 15 hingga 20 Julai di sekitar Bandar Sungai Long, Country Heights, Saujana Impian dan Bandar Putra Permai itu berjaya menahan keseluruhan 40 suspek warga asing termasuk empat wanita berusia 22 hingga 55 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua sindiket tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dengan beroperasi antara Mei hingga bulan ini.
Katanya, kesemua sindiket itu menjalankan aktiviti penipuan urusan jual beli barangan dalam talian, pelaburan tidak wujud dan love scam.
“Sindiket-sindiket itu menyasarkan mangsa daripada warga China, Amerika dan Kanada termasuk menggunakan aplikasi khas bagi love scam dan jual beli barangan.
“Pusat panggilan pula membabitkan rumah banglo dua dan tiga tingkat serta kondominium,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek warga asing yang ditangkap bertindak sebagai operator khidmat pelanggan dengan menerima bayaran sehingga RM3,000.
Tambahnya, semakan awal mendapati suspek-suspek tersebut memasuki negara ini menggunakan pas pelancong.
“Ada antara suspek yang ditahan belum menerima upah kerana baharu sahaja terlibat dalam sindiket. Semakan latar belakang juga sedang dijalankan sama ada terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi,” jelasnya.
Shazeli memaklumkan sepanjang siri serbuan itu berjaya merampas pelbagai peralatan serta empat unit naskah skrip yang bernilai keseluruhan RM46,000.
Kesemua suspek kini direman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














