fbpx
Nur Nadia sebak ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Mahkamah Majistret Klang. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO

Tiga bulan paling sengsara teruskan hidup – Nur Nadia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – “Tempoh tiga bulan ini adalah saat paling sengsara kerana saya terlalu merindui arwah”

Demikian luahan pilu isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut selepas dilanggar pemandu mabuk dan khayal dadah di Jalan Raya Barat di sini, 29 Mac lalu.

Nur Nadia Abdul Majid, 32, berkata dia pada awalnya selepas tragedi itu tidak begitu merasai kehilangan kerana menganggap arwah keluar bekerja seperti biasa.

“Namun, selepas tiga bulan, hati saya mula terasa sayu dan merindui suami sehingga terlalu mudah berlinangan air mata berbanding sebelum ini.

“Kehilangan arwah lebih dirasai ketika saya menghantar anak ke sekolah dengan motosikal kerana rutin itu dilakukan arwah setiap hari,” katanya sebak ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah di sini, hari ini.

Menurut suri rumah itu, memori bersama arwah masih sukar dilupakan terutama kepayahan membesarkan tiga anak mereka.

“Saya telah hidup bersama arwah selama 10 tahun 10 hari dan berasa jiwa ini kuat namun amat merinduinya.

“Namun, saya kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan perlu terus cekal meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Tambah Nur Nadia, keadaan semua anaknya semakin baik dan sedang memikirkan sama ada mahu menetap semula di Shah Alam atau sebaliknya.

“Saya kini cuma berharap mendapat keadilan dan pembelaan atas pemergian arwah yang menjadi tulang belakang kami selama ini.

“Wang sememangnya tidak dapat mengembalikan nyawa suami namun boleh menjamin masa depan anak kami,” katanya.

Sementara itu, peguam keluarga, Nur Iffah Hizwani Omar berkata, pihaknya dijangka memfailkan tuntutan pampasan lebih RM1 juta terhadap pemandu berkenaan seawal bulan depan.

“Kami masih menunggu perintah mahkamah berkaitan pendapatan sampingan arwah yang akan diketahui pada 28 Julai ini.

“Selepas menerimanya kelak, ia akan diserahkan kepada syarikat terlibat sebelum tuntutan pampasan difailkan mungkin pada Ogos depan,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu, Amirul Hafiz maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta dipandu pembantu makmal yang mabuk dan khayal dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN