SEREMBAN – Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan menggantung sementara tauliah mengajar agama membabitkan pemegang tauliah dalam kalangan ahli politik atau calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sepanjang tempoh rasmi kempen.
Keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta memastikan institusi agama tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik sepanjang musim pilihan raya.
Menurut surat pemakluman yang dikeluarkan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan ditandatangani Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin itu, penggantungan melibatkan semua aktiviti pengajaran dan penyampaian ceramah agama oleh pemegang Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan yang terdiri daripada ahli politik atau calon PRN.
Katanya, langkah berkenaan diambil bagi menjaga kesucian institusi agama, memelihara keharmonian masyarakat serta mengelakkan masjid, surau dan mana-mana premis pengajaran agama dijadikan medium yang boleh menimbulkan persepsi keberpihakan kepada mana-mana parti atau calon yang bertanding.
“Penggantungan ini berkuat kuasa mulai 18 Julai 2026 sehingga satu notis pemberitahuan baharu dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut surat tersebut.
Jabatan Mufti turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi arahan berkenaan boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta syarat-syarat Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan.
Surat itu turut memaklumkan senarai nama ahli politik atau calon PRN Negeri Sembilan ke-16 yang terlibat dengan penggantungan sementara tauliah berkenaan telah diedarkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE














