KUALA LUMPUR – Usahawan dan personaliti media sosial, Asyraf Khalid, menyifatkan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai satu piawaian yang wajar diguna pakai dalam pembentukan dasar dan naratif negara.
Asyraf berkata, titah baginda mengingatkan bahawa kejayaan sesebuah negara tidak seharusnya diukur melalui kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya sejauh mana setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan secara adil dan saksama.
“Baginda memberi kita satu ujian yang mudah tetapi menuntut, adakah sesuatu dasar itu merangkumi, atau menyisih.
“Bagi saya, keyakinan bahawa rakyat Malaysia mampu menjadi ‘world class’ hanya boleh dibina jika tiada seorang pun ditinggalkan,” katanya pada Persidangan Dunia Ke-8 Pemikiran dan Tamadun Islam di Pusat Konvesyen Casuarina, Ipoh, Perak, hari ini.
Asyraf yang juga Pengarah Eksekutif Larenme PR & Media, turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Larenme Nazrin Kamal dan Pengarah Jualan, Habibunajjar Sazali.
Mereka hadir atas jemputan pihak Kuwait Fellow di Oxford Centre for Islamic Studies, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti yang mempengerusikan Sesi Diraja Istimewa bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Titah Sultan Perak, kebesaran sesebuah negara tidak diukur pada ketinggian menara atau saiz perbendaharaannya, sebaliknya pada cara ia melayan anggota masyarakat yang paling lemah.
Menyampaikan ucaptama bertemakan Everyone Matters: Pride and Unity in Islam, baginda menggariskan lima perkara pada persidangan berkenaan iaitu tadbir urus baik dan kestabilan politik; pembangunan dan kerjasama ekonomi; pendidikan dan pemerkasaan sosial; kesihatan awam yang meliputi kebersihan dan sanitasi; serta integriti dan keselamatan negara.
Lima perkara itu adalah wajah kepada satu keyakinan tunggal, iaitu maruah insan tidak boleh dibahagi-bahagikan.
Baginda menegaskan bahawa dalam tradisi Islam, kuasa adalah satu amanah untuk dilaksanakan dan bukan keistimewaan untuk dinikmati, sambil mengingatkan bahawa belanjawan negara sebenarnya dokumen moral seperti mana ia sebuah dokumen kewangan.
“Rasa bangga, apabila difahami dengan sebenar-benarnya, bukan lahir daripada menguasai orang lain, tetapi daripada komitmen sesebuah komuniti untuk menjaga kebajikan setiap anggotanya, tanpa mengecualikan sesiapa pun,” kata Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (Universiti Azlaniah), institusi yang namanya mengabadikan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang dan keadilan tanpa pilih kasih. – KOSMO! ONLINE














