fbpx
Anwar merasmikan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini. Foto ihsan laman Facebook ANWAR IBRAHIM

RM2 juta untuk Institut Pemikiran Al-Qaradawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi bagi memperkukuh penyelidikan dan pengembangan ilmu berhubung sumbangan Allahyarham Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar mengumumkan hal berkenaan ketika merasmikan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Menurutnya, beliau mempunyai hubungan yang panjang dengan Al-Qaradawi sejak aktif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), malah banyak menimba pengalaman serta panduan daripada tokoh ulama berkenaan.

“Al-Qaradawi merupakan pencetus perubahan atau zeitgeist, penggerak semangat zaman yang menzahirkan keterbukaan dalam pemikiran serta mendukung pembaharuan bagi menghadapi cabaran kontemporari.

“Sudah pasti secara peribadi saya amat terhutang budi kepada Al-Qaradawi sama ada dari segi idea pemikiran, dukungan moral dan persahabatan yang dibina atas asas keikhlasan,” katanya.

Anwar turut mengimbau ketika kebangkitan Islam sekitar awal 1980-an apabila Al-Qaradawi menghantar satu risalah kepada pimpinan ABIM yang menegaskan supaya pertubuhan itu menjauhkan diri daripada aliran keras.

Katanya, Al-Qaradawi menasihatkan ABIM agar terus berpegang kepada prinsip wasatiyah atau kesederhanaan ketika berdepan peningkatan aliran pemikiran yang kurang terbuka menerima pandangan berbeza.

“Nasihat ini bagi saya amat penting sewaktu meningkatnya semangat dan aliran pemikiran yang tidak terbuka menerima pandangan yang berbeza pada ketika itu,” ujarnya.

Beliau berharap usaha memperkukuh institusi pemikiran itu akan membawa manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pencerahan umat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN