SETIAP kali melihat bapanya keluar bekerja sebagai pemandu komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan ibunya gigih membersihkan inap desa, Nur Zalia Najiha Zakaria sedar hanya satu cara mampu membalas segala pengorbanan mereka iaitu melalui kejayaan dalam pelajaran.
Kesedaran itulah yang mendorong anak keempat daripada lapan beradik itu memasang tekad untuk memberikan yang terbaik sepanjang pengajiannya di Tingkatan Enam.
Walaupun perjalanan itu bukan mudah, ketekunan, doa dan sokongan keluarga akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Menurut Nur Zalia, pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan demi memastikan dia serta tujuh adik-beradiknya mendapat pendidikan terbaik menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
“Saya melihat sendiri bagaimana ibu dan ayah bekerja keras setiap hari demi memastikan saya serta adik-beradik mendapat pendidikan yang sempurna.
“Sebab itu saya sentiasa berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan menghadiahkan kejayaan ini kepada mereka sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan yang dilakukan,” katanya.
Kisah kejayaan anak pemandu tren komuter itu mendapat perhatian baru-baru ini apabila keputusan STPM diumumkan.
Terpanggil untuk mengenali Nur Zalia lebih dekat untuk para pembaca, K-Remaja menemu bualnya untuk menyelami personaliti gadis ini.
Nur Zalia yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City, Tanjung Malim, Perak, mengambil empat mata pelajaran dalam STPM iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Pengajian Am serta Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK).
Kecemerlangan akademiknya boleh dikatakan terserlah sejak peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila dia memperoleh 9A atau lebih tepat keputusannya 5A+, 4A, 1E.
Sepanjang pengajian STPM, dia menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Semester 1 dan Semester 2, selain dinobatkan penerima Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Pengajian Am bagi keseluruhan semester di sekolahnya, SMK Proton City.
Anak kepada pasangan Zakaria Mat Arop, 55, dan Kartasiah Abd. Latif, 51 itu berkata, dia pernah mengikut dan melihat rutin kerja bapanya sewaktu dirinya kecil.

Kesedaran itulah yang mendorongnya memasang tekad untuk melakukan yang terbaik dalam pelajaran.
“Kebanyakan orang berasa teruja dan kagum apabila mengetahui pekerjaan bapa saya.
“Kehidupan keluarga kami sewaktu saya kecil sebenarnya agak mencabar disebabkan bilangan tanggungan yang ramai. Namun, alhamdulillah, ekonomi keluarga kini lebih stabil setelah dua orang kakak tamat pengajian dan bersama-sama meringankan beban keluarga,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik.
Biarpun cemerlang dalam akademik, Nur Zalia turut aktif dalam kokurikulum dengan menyertai pertandingan Wacana Telaah Karya Agung peringkat negeri Perak, Cabaran
Interaktif Literasi Kenegaraan (CILIK) peringkat kebangsaan serta memegang jawatan Biro Akademik dan Kerjaya dalam Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam.
Nur Zalia mengakui perjalanan sepanjang bergelar pelajar Tingkatan Enam bukanlah mudah, terutama ketika berdepan tekanan menyiapkan kerja kursus dan mengejar silibus yang padat.
Katanya, cabaran paling besar dilaluinya ketika Semester 2 apabila tempoh pembelajaran yang singkat perlu diseimbangkan dengan lambakan tugasan kerja kursus bagi setiap mata pelajaran yang diambil.
“Semester 2 merupakan fasa yang agak mencabar kerana kami perlu menguruskan masa dengan baik bagi menyiapkan kerja kursus di samping mengulang kaji pelajaran.
“Situasi itu sememangnya memberi tekanan kepada ramai pelajar STPM.
“Namun, pengalaman melalui fasa sukar itu mengajar saya menjadi individu yang lebih bijak menguruskan masa dan menyusun keutamaan,” katanya.
Tambahnya, dia juga pernah berdepan rasa tertekan dan hampir berputus asa, namun sokongan daripada keluarga, guru serta rakan-rakan membuatkan dia kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan.
Menariknya, Nur Zalia tidak terus mencapai sasaran PNGK 4.00 pada peringkat awal apabila keputusan Semester 1 dan Semester 2 masih belum mencapai impiannya.
Bagaimanapun, dia enggan menjadikan perkara itu sebagai penghalang, sebaliknya mengambil inisiatif menduduki peperiksaan ulangan bagi subjek yang belum memperoleh gred A.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya memperbaiki pencapaian sehingga memperoleh keputusan penuh dalam STPM 2025.
Berkongsi mengenai kaedah pembelajaran yang membantunya mencapai keputusan cemerlang, Nur Zalia berkata, dia sentiasa menitikberatkan fokus ketika berada di dalam kelas selain memastikan setiap perkara yang diajar guru difahami dengan baik.
Menurutnya, dia tidak mengamalkan jadual belajar yang terlalu ketat, sebaliknya memastikan setiap tugasan diberikan guru dapat disiapkan dengan sempurna sebelum memberi tumpuan kepada ulang kaji.
“Saya akan memberikan sepenuh perhatian ketika guru mengajar di dalam kelas. Selepas pulang dari sekolah, saya akan berehat terlebih dahulu sebelum menyiapkan tugasan yang diberikan guru pada waktu malam sambil mengulang kaji sedikit demi sedikit.
“Saya juga banyak membuat nota ringkas dalam bentuk peta minda, terutama bagi subjek Sejarah dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK), selain menjawab soalan-soalan STPM tahun sebelumnya,” katanya.
Nur Zalia menyifatkan pengalaman menyertai pelbagai aktiviti di sekolah pula mengajarnya untuk keluar dari zon selesa, berani mencuba perkara baharu dan belajar memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
Kini, Nur Zalia menyimpan impian untuk bergelar pendidik dan melanjutkan pengajian sehingga memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan.
Minatnya terhadap pendidikan Bahasa Melayu pula didorong oleh keazaman untuk memartabatkan bahasa kebangsaan serta melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu dan mempunyai sahsiah tinggi.
“Saya mahu menjadi pendidik kerana saya ingin membentuk anak didik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut mempunyai nilai murni dan menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Jika impian ini tercapai, saya berharap dapat membalas jasa ibu bapa, membanggakan keluarga serta menyumbang kepada masyarakat melalui bidang pendidikan,” katanya.














