fbpx
ALEX membuat keputusan menyertai pasukan kilang KTM untuk mendapatkan segala kemudahan berkaitan pembangunan jentera. - AGENSI

MotoGP: Alex dedah punca pilih KTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SPIELBERG – Alex Marquez mengakui peluang kembali bergelar pelumba pasukan kilang menjadi faktor utama dia meninggalkan pasukan satelit Ducati, Gresini Racing untuk menyertai KTM bermula musim 2027.

Pelumba Sepanyol itu berkata, sasaran untuk kembali bersama pasukan rasmi muncul selepas menamatkan musim lalu sebagai naib juara dunia MotoGP di belakang abangnya, Marc Marquez.

Menurut Alex, perubahan peraturan MotoGP dengan penggunaan enjin 850cc bermula musim depan menjadikan status pelumba kilang lebih penting kerana membolehkan seseorang pelumba menikmati segala pembangunan dan naik taraf jentera sepanjang musim.

“Selepas musim lalu, sasaran saya hanya satu, iaitu menjadi pelumba pasukan kilang. Disebabkan peraturan baharu bermula tahun depan, semua naik taraf jentera akan menjadi sangat penting.

“KTM datang terus kepada saya dan menyatakan mereka mahu saya menjadi sebahagian daripada projek mereka. Itu membuatkan saya berasa benar-benar dihargai,” katanya.

Alex turut mendedahkan dia mengenali ramai individu dalam struktur KTM yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, sekali gus menguatkan keyakinannya bahawa pengeluar Austria itu mampu muncul pencabar utama dalam era baharu MotoGP.

Pelumba berusia 30 tahun itu percaya pengalaman tujuh musim dalam MotoGP sudah cukup mematangkannya untuk memimpin pembangunan sebuah pasukan kilang dan bukan disebabkan tawaran lumayan.

“Saya sedih meninggalkan Gresini. Ketika rundingan dengan KTM berlangsung, saya bercakap dengan Nadia Padovani (pemilik Gresini) hampir setiap hari untuk menjelaskan keadaan.

“Saya pernah berjanji kepadanya bahawa jika ada tawaran daripada pasukan kilang, dia akan menjadi orang pertama yang saya maklumkan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN