LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Joe Gomez mengakui dia dan rakan sepasukan sudah tidak sabar serta teruja untuk memulakan kempen 2026/27 di bawah kendalian pengurus baharu, Andoni Iraola.
The Reds mendapatkan khidmat bekas pengendali Bournemouth itu selepas mengambil keputusan untuk memecat pengurus terdahulu, Arne Slot selepas gagal mempamerkan aksi diharapkan biarpun sudah berbelanja besar.
Gomez berkata, kehadiran Iraola disambut baik oleh pemain-pemain Liverpool memandangkan jurulatih dari Sepanyol itu berjaya mengemudi Bournemouth ke kancah bola sepak Eropah selain mengharungi 18 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa kalah.
“Kami sebagai pemain sentiasa teruja dan tidak sabar untuk memulakan saingan musim baharu. Saya dan rakan sepasukan sudah pun menjalani latihan pramusim, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Bagi saya, beliau (Iraola) merupakan seorang jurulatih dan individu yang baik. Apa yang beliau lakukan bersama Bournemouth pada musim lalu memang sangat menakjubkan dan harap kami dapat bermain seperti itu,” katanya.
Liverpool akan memulakan aksi pramusim pertama mereka dengan menentang Sunderland 26 Julai ini sebelum bertemu Wrexham (30 Julai), Leeds United (3 Ogos), Monaco (9 Ogos) dan Como (17 Ogos).
“Secara jujur, latihan berjalan dalam suasana yang sangat baik dan kami gembira Iraola adalah pengurus kami. Semua pemain sangat dahagakan kemenangan, jadi kami sudah tidak sabar untuk bermula,” ujar Gomez. – AGENSI














