fbpx
AARON Chia dan Aaron Tai tersingkir apabila tewas straight-set menentang pasangan Indonesia semalam.

Terbuka China: Dua gandingan baharu ‘rebah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CABARAN dua gandingan baharu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Aaron Tai dan Tee Kai Wun-Yap Roy King pada Kejohanan Badminton Terbuka China berakhir apabila menamatkan saingan seawal pusingan pertama.

Aksi Jelajah Dunia Super 1000 itu merupakan satu daripada tiga kejohanan yang dijadikan sebagai medan untuk barisan kejurulatihan menguji kemampuan gandingan baharu selepas skuad beregu lelaki dirombak baru-baru ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou semalam, Aaron Chia-Aaron Tai terpaksa akur dengan kehebatan pilihan keenam dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani apabila tewas 17-21, 19-21.

Walaupun tidak dapat mencatat kemenangan, namun aksi ditampilkan kedua-dua pemain kelahiran Melaka itu wajar diberikan pujian apabila masih mampu memberikan saingan kerana ia merupakan perlawanan kompetitif pertama untuk mereka berdua.

Aksi set pertama boleh dianggap menjadi milik Sabar-Moh Reza apabila mereka menguasai sebahagian besar permainan, namun set kedua boleh dikatakan seimbang apabila Aaron Chia-Aaron Tai turut memberikan cabaran.

Sementara itu, nasib sama turut menimpa Kai Wun-Roy King yang merupakan gandingan baru dibentuk apabila tewas 23-25, 17-21 kepada pasangan profesional berpengalaman negara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Pada perlawanan itu, Azriyn-Wee Kiong tidak berdepan tugas mudah apabila diberikan tentangan sengit rakan senegara, terutamanya di set pertama yang menyaksikan mereka dipaksa bermain hingga ke penentuan ‘deuce’.

Biarpun kempunan untuk mencatat kemenangan dan meneruskan kemaraan, namun aksi dipamerkan boleh menjadi panduan kepada barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti setiap kelemahan yang ada.

Selepas ini, mereka memiliki masa lebih kurang seminggu untuk melakukan persiapan sebelum menyertai kejohanan Terbuka Taiwan minggu depan serta Korea Masters yang bermula 4 hingga 9 Ogos nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN