PASIR PUTEH – Pelajar dan murid sekolah diingatkan supaya menghentikan budaya bergurau secara melampau kerana tindakan yang dianggap sekadar jenaka boleh bertukar menjadi perbuatan buli apabila mengakibatkan kecederaan atau trauma kepada mangsa.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, aspek keselamatan pelajar kini bukan sahaja melibatkan ancaman fizikal, malah turut merangkumi keselamatan mental dan emosi yang semakin mencabar.
Katanya, walaupun kes buli di Kelantan masih terkawal, pihaknya tidak memandang ringan sebarang bentuk gurauan yang melampaui batas sehingga boleh mencederakan rakan.
“Pelajar menganggap perbuatan itu sekadar bergurau, namun apabila menyebabkan kecederaan atau memberi kesan kepada mangsa dan itu sudah boleh dikategorikan sebagai buli.
“Kita mahu budaya seperti ini dihentikan sebelum ia menjadi lebih serius,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Murid 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai di sini hari ini.
Siti Norina memberitahu, Kempen Keselamatan Sekolah 2026 yang sudah memasuki tahun keempat penganjurannya itu terbukti memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, JPN Kelantan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuhkan budaya keselamatan di sekolah termasuk memberi penekanan terhadap isu keselamatan siber. – KOSMO! ONLINE














