KUALA LUMPUR – Seramai 3,553 individu dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan di Sabah bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, dengan Amphetamine-Type Stimulants (ATS) merupakan jenis dadah yang paling banyak disalahgunakan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, seramai 3,459 individu dikesan menyalahgunakan ATS, diikuti kategori lain-lain melibatkan 57 orang dan ganja seramai 26 orang.
Menurutnya, trend itu menunjukkan penyalahgunaan dadah sintetik, khususnya ATS, kekal menjadi cabaran utama di Sabah.
“Bagi menangani isu tersebut, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan pendekatan bersepadu yang merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Bukut pada sesi Pertanyaan Lisan Dewan Negara di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, dari sudut pencegahan, AADK mengguna pakai Model i-Cegah yang mengintegrasikan pendekatan pencegahan umum, selektif dan berfokus mengikut tahap risiko kumpulan sasaran.
Katanya, pelbagai program turut dilaksanakan di peringkat komuniti dan institusi pendidikan seperti Kampung Aspirasi Bebas Dadah, Skuad Antidadah, Kem Pintar 2.0, Kem Eksplorasi Potensi Murid, Program Siswa Aktif, Gagasan Aspirasi, Program Keluarga Prihatin serta Program Tempat Kerja Bebas Dadah. – KOSMO! ONLINE














