Selesai sudah sorakan ‘gol’. Piala Dunia 2026 telah pun melabuhkan tirai kelmarin dengan Sepanyol berjaya mengalahkan Argentina. Gelaran juara Piala Dunia kedua buat Sepanyol selepas tahun 2010.
Namun disebalik kehangatan sorakan kemenangan, ada kejadian yang sukar difahami mengapa ia boleh berlaku.
‘Lautan’ sampah di Dataran Merdeka. Adakah ini mentaliti individu yang hadir menonton perlawanan akhir bola sepak Argentina dan Sepanyol menerusi layar gergasi? Adakah tidak cukup tong sampah disediakan?
Adakah terlalu berat atau anda terlalu malas untuk membuang sampah sendiri atau membawa pulang jika tiada tong sampah?
Malam itu, Dataran Merdeka dibanjiri puluhan ribu orang. Padang menjadi stadium terbuka, dengan satu tujuan menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2026.
Mereka datang bukan dengan tangan kosong, dua tiga plastik makanan dan minuman. Suasana ibarat perkelahan sahabat dan keluarga di padang bola. Ada yang membawa kerusi, ada yang hampar tikar untuk keselesaan.
Namun dari ‘lautan’ manusia pada waktu malam menjadi ‘lautan’ sampah pada waktu pagi. Mereka yang tadi datang membawa makanan pulang jalan berlenggang.
Bekas makanan, botol air, tisu dan plastik yang dibawa ditinggalkan sahaja atas padang. Mungkin difikiran mereka ‘nanti ada pekerja pembersihan datang bersihkan’.
Jika melibatkan orang asing, laju kita label mereka pengotor tetapi rupanya kita belum cukup pembersih dan bertanggungjawab.
Selepas ini mungkin penganjur boleh memberi plastik besar untuk mereka kumpul dan kutip sampah sendiri atau tiada lagi ‘event’ sebegini.
Mereka yang tinggalkan sampah boleh dikenakan tindakan denda atau khidmat masyarakat di bawah akta sedia ada.
Sikap bertanggungjawab penyokong Jepun, yang membersihkan kawasan tempat duduk selepas perlawanan menentang Belanda di Stadium Dallas, pada 15 Jun lalu patut dicontohi. Di saat orang lain meraikan keputusan seri 2-2, penyokong Jepun memilih mengutip sampah.
Tidak semua tentang bola itu berakhir bahagia apabila lebih menyedihkan seorang lelaki mempertaruhkan perkahwinan dengan kemenangan pasukan. Tanpa sedar menjadikan talak tiga bahan taruhan apabila Argentina kalah.
Bagi si suami mungkin kata-kata itu sekadar menghangatkan suasana bersama rakan ketika menonton Piala Dunia tanpa sedar ia mampu merubah segala yang dimiliki. Kehilangan isteri dan anak-anak.
Sebab itu orang kata berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Bergurau ada cara. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.
Bahagia dan semangat menonton perlawanan bola sepak juga berakhir dengan kisah sedih apabila dicemari dengan insiden pergaduhan di sebuah restoran di Johor Bahru.
Seramai 15 individu berusia 18 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Pemain bersorak gembira memeluk trofi kemenangan, kita di sini pula disoal siasat kerana bergaduh.
Kita sepatutnya meninggalkan kenangan bukan sampah atau kisah tragis. Kita juga tidak perlu disoal siasat hanya kerana bergaduh. Belajar hormat dan bertanggungjawab.














