CYBERJAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai mesej tular yang mendakwa satu mesyuarat melibatkan beberapa gabungan parti politik akan diadakan petang.
“Tidak tahu (mesyuarat gabungan politik). Saya tidak tahu hal itu,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2026 di sini tadi.
Semalam, tular di laman sosial media hantaran yang mendakwa BN, Perikatan Nasional (PN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan satu sidang akhbar khas yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang ini.
Bagaimanapun, mesej tular itu tidak menjelaskan secara terperinci lokasi dan pemimpin politik mana yang akan menghadiri sidang khas itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ketika ini pendirian BN kekal jelas untuk terus berada bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16.
“Itu pendirian dan resolusi kita yang telah kita bawa ke Perhimpunan Agung UMNO, tidak ada badan lebih tinggi daripada perhimpunan agung itu.
“Kita sangat menghormati keputusan itu. Jadi, kita harap janganlah risau,” katanya. – KOSMO! ONLINE














